
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang menghadapi kesukaran membayar tunggakan digalakkan berunding untuk menstrukturkan semula bayaran balik atau memohon penangguhan mengikut kelonggaran yang dibenarkan.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan jumlah tunggakan pinjaman PTPTN mencecah RM10.7 bilion, melibatkan 1.16 juta peminjam setakat 31 Ogos 2026.
Menurut KPT, pelbagai inisiatif akan terus dilaksanakan bagi memastikan kelestarian dana PTPTN, termasuk menambah baik terma pembiayaan supaya lebih bersasar serta memperkukuh kutipan bayaran balik melalui penguatkuasaan dan kerjasama strategik dengan agensi kerajaan serta korporat.
Kenyataan itu bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) mengenai jumlah hutang PTPTN dan bilangan peminjam yang mempunyai tunggakan.
– BERNAMA
