
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengarahkan semua premis Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di kawasan yang mencatatkan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 180 ditutup mulai 9 Oktober 2026 susulan keadaan jerebu.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, langkah itu dilaksanakan susulan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bagi melindungi kesihatan dan keselamatan guru serta murid.
Bagi kawasan yang mencatatkan IPU melebihi 150 selama tiga hari berturut-turut, penutupan premis KAFA akan bermula pada 12 Oktober. Sesi pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) perlu dilaksanakan mengikut kesesuaian serta kemampuan guru dan murid.
Ibu bapa dan penjaga turut diminta memastikan anak-anak berada di rumah serta mengurangkan aktiviti luar sepanjang tempoh penutupan.
Bagaimanapun, Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) bertulis diteruskan mengikut jadual ditetapkan. JAKIM akan mengeluarkan panduan khusus sekiranya keadaan jerebu berlarutan, manakala pihak berkuasa agama negeri diminta memantau bacaan IPU dan mengambil tindakan sewajarnya.
