

BUKIT MERTAJAM, 25 September – Pemergian Allahyarham Idrus Ibrahim, abang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, disifatkan keluarga sebagai kehilangan yang tidak disangka-sangka.
Allahyarham dipercayai sedang bersiap untuk menunaikan solat Asar sebelum ditemukan tidak sedarkan diri. Walaupun pernah mengalami serangan jantung tahun lalu, kesihatannya dikatakan stabil dan beliau masih mampu menguruskan diri seperti biasa.
Bekas guru besar itu dikenang sebagai seorang yang gemar bersembang, banyak memberi pandangan serta menjadi tempat rujukan ketika berdepan masalah.
Allahyarham meninggalkan empat anak dan 10 cucu. Jenazah dijangka dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran masjid lama di Cherok Tok Kun selepas solat Jumaat.
