RAJA PERMAISURI AGONG BERANGKAT MERASMIKAN PELANCARAN MUZIUM TEKSTIL MERDEKA

21 Ogos 2026

KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pelancaran Muzium Tekstil Merdeka di perkarangan Menara Merdeka Maybank, Kuala Lumpur, hari ini (21 Ogos).

Muzium berkenaan dibuka oleh PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), dengan tujuan berusaha memelihara dan meraikan warisan tekstil Alam Melayu menerusi penceritaan mendalam serta pengalaman budaya interaktif.

Koleksi peribadi milik Allahyarhamah Sharifah Azah Syed Mohammed Alsagoff (Azah Aziz), isteri kepada kepada Almarhum Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Abdul Hamid dan bonda kepada bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Ungku Zeti Akhtar Aziz, menjadi teras utama dalam muzium ini.

Koleksi ini merangkumi 240 helai busana dan 69 barangan perhiasan tradisional, termasuk sarung songket, Baju Kurung Limar dan Tekat Emas yang telah disumbangkan oleh keluarga Azah Aziz.

Raja Permaisuri Agong bertitah setiap negara mempunyai warisan yang perlu dihargai, dipelihara dan diwariskan kepada generasi seterusnya.

β€œTradisi budaya kita merupakan cerminan identiti serta nilai yang membentuk masyarakat kita. Saya berharap Muzium Tekstil Merdeka akan menjadi sebuah pusat pembelajaran dan penerokaan ilmu yang penting untuk semua, serta menjadi inspirasi kepada wanita Malaysia hari ini dan generasi akan datang.

β€œSaya juga berharap anak-anak muda akan menghargai warisan dan budaya negara kita supaya tidak akan hilang begitu sahaja,” titah Seri Paduka Baginda.

Muzium ini turut mengambil inspirasi daripada karya penting beliau, Rupa & Gaya: Busana Melayu, yang mengetengahkan tekstil Melayu sebagai cerminan identiti, sejarah, budaya dan masyarakat.

Muzium Tekstil Merdeka mempunyai lapan galeri dan turut dilengkapi sebuah pusat pengajian yang mengandungi sebuah makmal konservasi, perpustakaan fabrik serta pusat pengetahuan tekstil.

Hadir sama menyambut keberangkatan Raja Permaisuri Agong, YB Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara, dan YM Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda, Pengerusi Kumpulan PNB.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *