

11 Ogos 2026
Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) terus memperkasakan sektor pendidikan di negeri Johor menerusi pelaksanaan sumbangan televisyen pintar (Smart TV) dan Keperluan Persekolahan Bangsa Johor.
Bagi pemantapan prasarana pengajaran dan pembelajaran digital, sebanyak 10 unit Smart TV bersaiz 75 inci diserahkan kepada 10 sekolah terpilih.
Sementara itu, 500 unit keperluan sekolah merangkumi beg sekolah dan alat tulis turut disumbangkan kepada pelajar kurang berkemampuan.
Sumbangan disampaikan Tan Sri Avinderjit Singh, Pemegang Amanah Urusan YSIJ kepada YB Dr Muhammad Naqib Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor pada majlis di Sekolah Kebangsaan Batu 24, Pekan Nenas, Pontian hari ini (11 Ogos).
Turut hadir, Mohd Anizam Jamian, Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ; Mohd Dom Dui, Timbalan Pengarah, Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Johor; Mohidin Suyot, Pegawai Pendidikan Daerah Pontian dan Mohd Hairul Md Busari, Pengurus Operasi, Pizza Hut Restaurant Sdn Bhd (JB) QSR Brands (M) Holdings Sdn Bhd.
Seramai 100 pelajar dan tetamu yang hadir di majlis turut menerima 600 pek makanan merangkumi 200 pek tajaan YSIJ serta sumbangan rakan strategik iaitu 200 pek KFC dan 200 pek Pizza Hut.
