Tiga Ikrar Kerajaan MADANI Untuk Pendeposit TH

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Kerajaan MADANI menggariskan tiga ikrar utama kepada lebih 10 juta pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH), dengan fokus memastikan ketelusan, akauntabiliti serta pengukuhan institusi.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ikrar berkenaan bertujuan memastikan kelemahan pengurusan kewangan yang pernah berlaku tidak berulang.

Ikrar pertama ialah memastikan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH didedahkan kepada umum dan dibentangkan di Parlimen secara telus tanpa menyembunyikan sebarang maklumat.

Ikrar kedua adalah memastikan prinsip akauntabiliti ditegakkan tanpa pilih kasih, termasuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan.

Ikrar ketiga pula melibatkan usaha memperkukuh TH melalui pindaan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) bagi melarang ahli politik aktif daripada menganggotai lembaga pengarah pelaburan TH.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan penerangan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat mengenai laporan RCI berkaitan TH di Dewan Rakyat, hari ini.

Amir Hamzah turut menegaskan bahawa TH bukan milik kerajaan atau mana-mana parti politik, sebaliknya merupakan amanah umat Islam yang mengumpul simpanan pendeposit untuk membantu mereka menunaikan ibadah haji.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *