
JAKARTA, 9 Ogos – Kebakaran hutan di Gunung Bromo, Jawa Timur, merebak ke kawasan kira-kira 520 hektar susulan tiupan angin kencang yang mempercepatkan penyebaran api di lereng gunung dan kawasan savana.
Ketua Taman Negara Bromo Tengger Semeru (TNBTS), Rudijanta Tjahja Nugraha berkata, keluasan kawasan terjejas meningkat selepas api kembali marak pada Sabtu malam, termasuk membakar kawasan savana.
Menurut beliau, keadaan rumput dan tumbuh-tumbuhan yang kering turut menyebabkan api lebih mudah merebak.
Susulan kebakaran itu, TNBTS menutup Gunung Bromo kepada pelancong di semua pintu masuk mulai 10 malam Sabtu sehingga dimaklumkan kelak bagi melancarkan operasi pemadaman serta menjamin keselamatan pengunjung.
Pengunjung yang terjejas diberikan pilihan untuk menjadualkan semula tempahan atau mendapatkan bayaran balik.
Sementara itu, Menteri Kehutanan Indonesia, Raja Juli Antoni berkata, siasatan punca kebakaran diserahkan kepada agensi penguat kuasa dan tindakan sewajarnya akan dikenakan terhadap pihak yang melakukan pembakaran hutan dan tanah.
Pihak TNBTS sebelum ini memaklumkan kebakaran berkenaan dipercayai berpunca daripada aktiviti manusia.
