
KRUBONG, 8 Ogos – Pembangunan negara perlu dilaksanakan secara seimbang dengan mengambil kira keperluan di lokasi tumpuan, termasuk aspek kebersihan serta kemudahan di kawasan gerai makanan, selain memberi tumpuan kepada projek berskala besar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyediaan peruntukan khusus bagi aspek berkenaan penting bagi memastikan pembangunan tidak hanya tertumpu kepada projek mega, sebaliknya turut mengambil kira kualiti persekitaran dan ekosistem setempat.
Beliau berkata, keseimbangan dalam perancangan pembangunan perlu diberi perhatian supaya aspek landskap dan persekitaran tidak dipandang ringan.
“Kita tidak boleh ‘meremehkan’ kepentingan ekosistem yang melibatkan landskap, sebab itu saya kata dalam perancangan adalah gagal jika kita tidak dapat imbangi dengan baik,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Landskap Negara 2026 di Stadium Hang Jebat.
Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar berkata perbezaan parti yang mentadbir di peringkat Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri tidak seharusnya menjadi penghalang kepada hubungan serta kerjasama antara kedua-dua pihak.
Menurut beliau, hubungan yang erat antara kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri amat penting bagi memastikan manfaat pembangunan dapat disalurkan kepada rakyat secara berkesan.
Pendekatan pembangunan yang seimbang itu penting bagi memastikan kemajuan negara turut disokong oleh persekitaran yang berkualiti serta ekosistem bandar dan komuniti yang terpelihara.
