
KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN memutuskan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan menjalankan tugas Timbalan Presiden PKR secara sementara bagi memastikan kelancaran pentadbiran parti sepanjang tempoh cuti yang dipohon penyandang jawatan tersebut.
Menteri Komunikasi merangkap Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat selepas MPP bersetuju memberi cuti sementara kepada Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bermula sejurus selepas Kongres Nasional 2026 sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kelak.
Menurut beliau, Nurul Izzah bagaimanapun akan terus melaksanakan tanggungjawab merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN pada 14 Ogos ini sebagai sebahagian daripada pengisian Kongres Nasional 2026.
Dalam perkembangan sama, MPP turut melantik Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Shaari, untuk menggalas sepenuhnya tugas sebagai Pengarah Pilihan Raya KEADILAN bagi memperkukuh persiapan parti menghadapi pilihan raya akan datang.
Datuk Seri Fahmi turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Aminuddin Harun atas khidmat cemerlang sepanjang dua penggal memegang jawatan tersebut, selain mengucapkan terima kasih kepada seluruh pasukan yang terlibat dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Pada mesyuarat yang sama, MPP turut meluluskan penyertaan 3,533 anggota baharu yang mendaftar secara dalam talian bagi tempoh 12 Julai hingga Ogos 2026, sekali gus mencerminkan pertambahan sokongan dan pengukuhan keanggotaan parti.
