
KOTA KINABALU, 7 Ogos 2026 – Jawatankuasa Bersama mengenai Keselamatan Pantai Timur Sabah (JKBE) terus memperkukuh komitmen dalam memastikan tahap keselamatan, kesiapsiagaan dan keberkesanan operasi di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESS Zone) melalui Mesyuarat JKBE Bilangan 1 Tahun 2026 yang berlangsung hari ini.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama oleh YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Mohd. Noor, Ketua Menteri Sabah dan YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESS Zone) 1.
Mesyuarat memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh tahap keselamatan dan kesiapsiagaan operasi Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) bagi memastikan keselamatan rakyat serta kedaulatan kawasan Pantai Timur Sabah terus terpelihara.
Kerjasama strategik dan penyelarasan yang erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah, ESSCOM serta agensi-agensi keselamatan turut diperkasakan bagi meningkatkan keberkesanan operasi. Pendekatan menyeluruh berasaskan risikan, penggunaan teknologi moden dan pengurusan aset secara optimum akan terus diperkukuh, khususnya di kawasan berisiko tinggi.
Mesyuarat turut memberi penekanan kepada aspek kebajikan dan kesiapsiagaan anggota ESSCOM, termasuk penyediaan kemudahan perumahan yang lebih baik sebagai pelaburan strategik untuk meningkatkan moral, kebajikan serta keupayaan anggota dalam melaksanakan tugas mempertahankan keselamatan negara.
JKBE akan terus berperanan sebagai platform strategik bagi memastikan setiap isu keselamatan disusuli tindakan yang tersusun, dengan agensi peneraju, garis masa pelaksanaan serta petunjuk prestasi yang jelas. Langkah ini akan memperkukuh ESSCOM sebagai benteng utama keselamatan negara di Pantai Timur Sabah, sekali gus menyokong kestabilan dan kemakmuran berterusan di ESS Zone.
Kerajaan MADANI kekal komited memperkukuh keselamatan negara menerusi kerjasama bersepadu antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan agensi penguatkuasaan demi menjamin kedaulatan negara serta kesejahteraan rakyat.
“Keselamatan Diperkukuh. Kedaulatan Dipelihara. Kebajikan Rakyat Diutamakan.”
Sumber: Facebook Kementerian Dalam Negeri
