
KOTA BHARU, 3 Ogos – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mengingatkan orang ramai yang menjalankan aktiviti mendulang emas supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan, khususnya ketika berada di kawasan sungai yang berisiko berlaku kenaikan paras air secara tiba-tiba.
Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, pihaknya menyokong usaha kerajaan negeri dalam merancakkan ekonomi menerusi aktiviti mendulang emas, namun setiap individu perlu lebih peka terhadap keadaan persekitaran bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Beliau berkata, penggunaan jaket keselamatan amat digalakkan terutama apabila berlaku hujan lebat di kawasan hulu sungai kerana ia mampu mengurangkan risiko lemas sekiranya berlaku arus deras atau kepala air.
Menurut beliau, sehingga kini tiada insiden melibatkan aktiviti mendulang emas direkodkan di negeri itu, namun langkah pencegahan perlu sentiasa diberi keutamaan memandangkan aktiviti berkenaan tetap mempunyai tahap risiko tertentu.
Statistik JBPM menunjukkan Kelantan merekodkan antara 20 hingga 30 kes lemas setiap tahun, manakala enam kes telah direkodkan bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini. Sebanyak 25 kes direkodkan pada tahun lalu dan 24 kes pada tahun sebelumnya.
JBPM berharap semua pihak yang terlibat dalam aktiviti mendulang emas terus mengamalkan langkah keselamatan serta mematuhi nasihat pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian yang boleh mengancam nyawa.
