
KUALA LUMPUR, 23 Julai – Malaysia menzahirkan kebimbangan terhadap ancaman terbaharu pihak Houthi untuk menyekat dan menutup laluan strategik Selat Bab el-Mandeb
Kementerian Luar dalam satu kenyataan menyatakan, Malaysia menggesa semua pihak mempertahankan kebebasan pelayaran serta memastikan keselamatan laluan perdagangan maritim mengikut undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS).
Menurut Wisma Putra, semua pihak juga perlu mengelakkan tindakan provokatif yang boleh memburukkan lagi ketegangan di Asia Barat.
Selat Bab el-Mandeb merupakan laluan perdagangan penting yang menghubungkan Asia dan Eropah.
Sebarang gangguan di laluan itu bukan sahaja menjejaskan perdagangan antarabangsa, malah memberi kesan kepada rantaian bekalan global, keselamatan tenaga dan ekonomi dunia
Wisma Putra turut menasihatkan semua kapal Malaysia serta pengendali perkapalan supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi nasihat keselamatan maritim terkini.
