
22 Julai 2026
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) terus memperkukuh usaha pencegahan, rawatan dan pemulihan dadah di Sabah melalui pendekatan menyeluruh yang berasaskan komuniti. Inisiatif ini dilaksanakan secara bersepadu bagi meningkatkan kesedaran awam, memperkukuh daya tahan masyarakat serta mengurangkan risiko penyalahgunaan dadah, khususnya dalam kalangan golongan berisiko.
“Usaha membanteras dadah bukan sekadar bergantung kepada penguatkuasaan, malah memerlukan penglibatan aktif seluruh masyarakat melalui pendidikan, pencegahan dan pemulihan yang berterusan demi melahirkan komuniti yang lebih selamat dan sejahtera.”
— YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri
Berdasarkan statistik AADK bagi tempoh Januari hingga Mac 2026, seramai 3,553 individu dikenal pasti terlibat dengan penyalahgunaan dadah di Sabah, dengan 3,459 kes melibatkan Amphetamine-Type Stimulants (ATS) yang kekal sebagai jenis dadah paling dominan. Bagi menangani cabaran ini, AADK melaksanakan Model i-Cegah yang mengintegrasikan pendekatan pencegahan umum, selektif dan berfokus mengikut kumpulan sasaran.
Pelbagai program turut diperkasakan di peringkat komuniti dan institusi pendidikan, antaranya Kampung Aspirasi Bebas Dadah (KABD), SKUAD Antidadah, Kem PINTAR 2.0, Kem Eksplorasi Potensi Murid (EPM), Program Siswa Aktif, Gagasan Aspirasi (SAGA), Program Keluarga Prihatin serta Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD). Pada masa yang sama, Kerajaan turut meluluskan pembinaan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Tawau di bawah Rolling Plan 5, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dengan peruntukan sebanyak RM157.03 juta bagi meningkatkan kapasiti rawatan dan pemulihan, khususnya di Zon Pantai Timur Sabah.
KDN akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama semua agensi berkaitan dan masyarakat bagi memastikan usaha pencegahan, rawatan dan pemulihan dilaksanakan secara holistik ke arah membina komuniti bebas dadah serta memperkukuh keselamatan dan kesejahteraan negara.
Sumber:
Pertanyaan Jawab Lisan Dewan Negara, Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Parlimen Kelima Belas, 21 Julai 2026.
