



9 Julai 2026
Perdana Menteri Datok Seri Anwar Ibrahim
dan PM Anutin hari ini mengadakan pertemuan empat mata di Bangunan Perdana Putra sebelum mempengerusikan mesyuarat dua hala bersama delegasi kedua-dua negara.
Pertemuan tersebut memperteguh persahabatan yang sekian lama terjalin serta komitmen Malaysia dan Thailand untuk terus memperkukuh Perkongsian Strategik demi keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan kedua-dua negara.
Perbincangan mereka tertumpu kepada kerjasama dalam pelbagai bidang meliputi perdagangan dan pelaburan, pembangunan sempadan, keselamatan, pertanian dan keterjaminan makanan, pelancongan, industri halal serta industri semikonduktor.
” Kami memberi penekanan kepada usaha mempercepat pelaksanaan projek-projek kesalinghubungan serantau, termasuk ASEAN Power Grid, serta memperkukuh kesalinghubungan di sempadan Rantau Panjang-Sungai Golok demi memudah cara pergerakan rakyat dan merancakkan aktiviti ekonomi rentas sempadan, ” kata PMX dalam perkongsian di laman sosial hari ini.
Malaysia dan Thailand bersetuju mempercepat pelaksanaan pelbagai inisiatif yang telah dipersetujui melalui mekanisme kerjasama sedia ada agar manfaatnya dapat segera dirasai oleh rakyat kedua-dua negara.
PM Anutin juga merakamkan penghargaan atas peranan aktif Malaysia dalam membantu menggalakkan dialog dan usaha damai di rantau ini, termasuk sokongan terhadap proses perdamaian antara Thailand dan Kemboja.
” Kami turut bertukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau, termasuk perkembangan di Myanmar serta usaha mengekalkan keamanan di selatan Thailand, berlandaskan semangat ASEAN yang sentiasa mengutamakan dialog, persefahaman dan penyelesaian secara damai,” kata PMX lagi.
Hubungan Malaysia dan Thailand akan terus diperkukuh berteraskan semangat saling menghormati, kepercayaan dan iltizam untuk meneroka lebih banyak peluang kerjasama yang membawa manfaat nyata kepada rakyat kedua-dua negara serta kemakmuran rantau ini.
