


Wartawan JM
23 JUN 2026
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus memperkukuh usaha membudayakan integriti dan tadbir urus yang baik dalam kalangan warga kampus menerusi penganjuran Program “Wayang Rasuah: Bila Bayang Menjadi Gelap” yang berlangsung di Dewan Kecemerlangan (DK2), UniMAP Pauh Putra, Arau dekat sini hari ini.
Kenyataan media UniMAP memaklumkan program yang berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 1 tengah hari itu merupakan anjuran bersama Unit Integriti, Pejabat Penasihat Undang-Undang dan Integriti, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai bahaya rasuah serta memperkukuh penghayatan nilai integriti, akauntabiliti dan ketelusan dalam kalangan mahasiswa dan warga universiti selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
MESEJA PENCEGAHAN RASUAH
Program ini menampilkan persembahan Wayang Kulit Antirasuah bertajuk “Wayang Rasuah: Bila Bayang Menjadi Gelap” oleh Kumpulan Wayang Kulit Warisan Enam Saudara yang mengetengahkan mesej pencegahan rasuah melalui pendekatan seni dan budaya tradisional yang dekat dengan masyarakat.
Selain itu, para peserta turut mengikuti taklimat integriti yang disampaikan oleh Penguasa Kanan SPRM Negeri Perlis, PKPs Mohd Faiq Hussin yang menghuraikan konsep Keep Malaysia Clean (KMC), iaitu satu inisiatif nasional yang diperkenalkan bagi membudayakan integriti serta menolak rasuah dalam kalangan rakyat Malaysia yang secara ringkasnya membawa aspirasi untuk membina Malaysia yang bersih daripada rasuah berteraskan nilai integriti, nilai murni dan tanggungjawab bersama.
Program ini juga turut menerima ucapan daripada Timbalan Pengarah Operasi SPRM Negeri Perlis, PPj Hairul Hafiz Bohari.
RAKYAT ATAU KEMAJUAN
Dalam ucapannya, beliau berkata bahawa kejayaan sesebuah negara bukan sahaja bergantung kepada kecerdikan rakyat atau kemajuan teknologi, malah turut ditentukan oleh tahap integriti yang dimiliki oleh setiap individu.
“Negara tidak akan musnah kerana kekurangan orang pandai. Negara tidak akan musnah kerana kekurangan teknologi. Negara tidak akan musnah kerana kekurangan graduan. Tetapi negara boleh musnah apabila orang yang pandai kehilangan integriti”.
“Sebab itulah integriti perlu dipupuk ketika masih bergelar mahasiswa kerana mereka merupakan bakal pemimpin, penjawat awam dan peneraju organisasi pada masa hadapan,” katanya.
Turut hadir, Ketua Unit Integriti Pejabat Undang-undang & Integriti UniMAP, Ruzalina Ibnu Ruslan dan Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar UniMAP, Ts. Dr. Muhammad Hafiz Ab Aziz.
BUKAN SAHAJA CEMERLANG
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan UniMAP dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan teknikal, malah memiliki sahsiah terpuji serta berpegang teguh kepada prinsip integriti.
Melalui penglibatan aktif mahasiswa dalam program seumpama ini, UniMAP berharap dapat menyemai budaya menolak rasuah dan salah guna kuasa, sekali gus melahirkan generasi pemimpin masa hadapan yang beretika, bertanggungjawab dan berintegriti tinggi.
Terdahulu, penubuhan Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) di UniMAP sebagai gerakan mahasiswa dan rakan strategik SPRM turut memainkan peranan penting dalam menyemai budaya integriti serta memperluaskan mesej antirasuah dalam kalangan pelajar.
Melalui platform ini, mahasiswa berupaya bertindak sebagai agen perubahan dalam mewujudkan persekitaran kampus yang berintegriti dan bebas rasuah. – JM
