Izham Mahmud dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Perlis 1448H/2026M

Oleh: Sholina Osman
22 JUN 2026

Tokoh korporat dan pemimpin masyarakat asal Perlis yang disegani, Datuk Izham Mahmud, telah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Perlis 1448H/2026M sebagai pengiktirafan terhadap jasa, sumbangan dan bakti beliau yang amat besar kepada Negeri Perlis serta kesejahteraan ummah.

Anugerah tersebut telah dikurniakan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, yang berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Perlis tahun ini di Dewan 2020, Kangar baru-baru ini.

Turut berangkat pada majlis berkenaan ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, serta anakanda sulung, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullaill.

YANG SENTIASA KOMITED

Dilahirkan pada 11 Januari 1941 di Kangar, Datuk Izham dikenali sebagai seorang tokoh yang sentiasa komited dalam menyumbang tenaga, idea dan kepakaran demi kemajuan negeri. Penglibatan aktif beliau dalam pelbagai institusi, khususnya Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, telah memberi impak yang signifikan terhadap pembangunan pendidikan, kebajikan dan filantropi Islam di negeri ini.

Antara sumbangan utama beliau ialah peranan sebagai Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Pelaburan MAIPs bagi tempoh 2012 hingga 2025,
dan kemudiannya sebagai Ahli Jawatankuasa Pembangunan Fizikal MAIPs hingga sekarang
menyaksikan beliau terlibat secara aktif dalam merangka dan memperkukuh pelbagai inisiatif pembangunan strategik negeri.

Beliau juga berkecimpung sebagai Ahli Lembaga Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan memberikan sumbangan yang signifikan dalam pelaksanaan program-program pendidikan, kebajikan dan pembangunan masyarakat.

PROJEK BANGUNAN WAKAF

Penglibatan beliau turut merangkumi pelaksanaan projek Bangunan Wakaf MAIPs iaitu Pusat Perkhidmatan Dialisis Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, yang memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat.

Selain itu, beliau juga merupakan antara individu yang memainkan peranan penting dalam pembangunan Masjid As-Solihin, Chuping. Kesemua sumbangan ini mencerminkan komitmen, dedikasi dan keprihatinan beliau yang berterusan terhadap pembangunan ummah, pemerkasaan institusi Islam, serta peningkatan kesejahteraan rakyat di Negeri Perlis.

Pengurniaan Tokoh Maal Hijrah Negeri Perlis kepada Datuk Izham Mahmud adalah selaras dengan jasa dan komitmen berterusan beliau dalam memperkasa pembangunan ummah, memajukan bidang pendidikan, memperkukuh institusi kebajikan serta meningkatkan kesejahteraan sosial rakyat negeri ini.

PENGIKTIRAFAN TERHADAP JASA

Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Darus pula telah dipilih menerima Anugerah Maal Hijrah 1448H/2026M Peringkat Negeri Perlis sebagai pengiktirafan terhadap jasa, pengorbanan dan sumbangan beliau yang amat besar dalam bidang kebajikan, kemasyarakatan, pentadbiran serta pembangunan negeri.

Datuk Johari telah dilahirkan pada 1 Ogos 1941 di Gunung Medan, Utan Aji, Perlis.

Beliau dikenali sebagai seorang tokoh yang telah menabur bakti kepada negeri dan masyarakat selama lebih lima dekad menerusi pelbagai jawatan penting dalam sektor awam, badan kebajikan serta pertubuhan sukarela.

SETIAUSAHA KEHORMAT YAYASAN

Antara sumbangan signifikan beliau ialah sebagai Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis sejak penubuhannya pada tahun 1986 sehingga kini, menjangkau tempoh hampir 40 tahun.

Sepanjang tempoh tersebut, beliau memainkan peranan penting dalam memperkukuh pelbagai program pendidikan, kebajikan dan pembangunan modal insan yang memberi manfaat kepada rakyat negeri Perlis.

Selain itu, beliau turut menyandang pelbagai jawatan penting dalam organisasi kebajikan dan kemasyarakatan, antaranya sebagai Naib Pengerusi 1 Pertubuhan Pengurusan Pusat Dialisis Tuanku Syed Putra, Timbalan Yang Dipertua Majlis Kebajikan Negeri Perlis, serta Ahli Jawatankuasa Adat Istiadat Melayu MAIPs.

SEBAGAI SETIAUSAHA SULIT

Dalam perkhidmatan awam, Datuk Johari pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Sulit kepada Raja Perlis, Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail sebanyak dua kali.

Beliau juga pernah menyandang jawatan Pegawai Perhubungan Awam di Jabatan Penerangan Negeri Perlis merangkap Pegawai Akhbar kepada Allahyarham Tan Sri Sheikh Ahmad bin Hashim ketika menjawat jawatan Menteri Besar Perlis pada ketika itu.

Pengalaman luas beliau dalam pentadbiran turut meliputi jawatan Penolong Setiausaha Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perlis, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar serta Pegawai Latihan di Kementerian Kebudayaan Malaysia.

SEBAGAI “ADIB ESR”

Sementara itu, Adib Affandi Mohamad atau lebih dikenali sebagai β€œAdib ESR” telah menerima Anugerah Jaizah Maal Hijrah sempena Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026M Peringkat Negeri Perlis.

Anugerah tersebut telah dikurniakan sebagai pengiktirafan terhadap jasa, sumbangan dan komitmen beliau dalam bidang keusahawanan, pembangunan komuniti serta kebajikan masyarakat.

Dilahirkan pada 23 Ogos 1986 di Padang Besar, Perlis, Adib Affandi memulakan perjalanan hidup sebagai seorang mekanik sebelum berjaya membina empayar perniagaan yang menjadi inspirasi kepada ramai anak muda. Kisah kejayaan beliau membuktikan bahawa kemahiran teknikal dan vokasional (TVET), keusahawanan digital serta sifat pemurah mampu mengangkat martabat seseorang individu dan memberi manfaat besar kepada masyarakat.

PUSAT KHIDMAT KOMUNITI

Dalam bidang automotif, beliau menjadikan bengkel miliknya bukan sekadar sumber pendapatan, malah sebagai pusat khidmat komuniti yang sentiasa menjadi rujukan masyarakat setempat. Melalui pengamalan nilai integriti, ketelitian dan kejujuran dalam perniagaan, beliau berjaya membina kepercayaan pelanggan serta mengangkat imej profesion mekanik ke tahap yang lebih tinggi.

Beliau turut mencipta kejayaan dalam bidang e-dagang apabila berjaya memasarkan komponen motosikal serta produk jenama sendiri ke seluruh negara melalui platform digital, khususnya TikTok menerusi akaun ESR Motor. Kejayaan tersebut menjadikan beliau contoh usahawan moden yang memanfaatkan teknologi untuk mengembangkan perniagaan, sekali gus memberi inspirasi kepada golongan belia untuk meneroka peluang dalam ekonomi digital.

Selain itu, melalui pasukan ESR Garage juga, beliau aktif dalam sukan permotoran khususnya drag racing di peringkat kebangsaan. Penglibatan tersebut bukan sahaja mencungkil bakat baharu dalam kalangan anak muda, malah membantu membimbing mereka untuk menyalurkan minat terhadap sukan permotoran secara sihat, selamat dan profesional di litar yang sah.

DIKONGSI BERSAMA MASYARAKAT

Lebih membanggakan, kejayaan perniagaan yang dikecapi sentiasa dikongsi bersama masyarakat menerusi pelbagai program kebajikan dan tanggungjawab sosial. ESR Motor telah mencipta sejarah tersendiri apabila muncul sebagai antara pembayar zakat korporat bernilai jutaan ringgit, sekali gus membuktikan komitmen tinggi syarikat terhadap pembangunan ummah dan kesejahteraan masyarakat.

Melalui hubungan kerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), pasukan ESR Garage turut menyumbangkan sebanyak 20,200 ekor ayam segar untuk diagihkan kepada golongan asnaf di seluruh negeri Perlis. Sumbangan berskala besar itu telah memberi manfaat kepada ribuan keluarga yang memerlukan.

Beliau bersama pasukannya juga sentiasa turun padang menyantuni masyarakat dengan mengagihkan kampit beras dan pelbagai keperluan dapur kepada keluarga B40 serta golongan asnaf. Pendekatan yang dilaksanakan secara berterusan itu membantu memastikan kebajikan dan kelangsungan hidup golongan yang kurang berkemampuan terus terbela.

Penganugerahan Jaizah Maal Hijrah kepada Adib Affandi Mohamad merupakan pengiktirafan yang amat signifikan terhadap usaha gigih beliau dalam mengimbangi kejayaan duniawi dengan tanggungjawab sosial dan keagamaan. Kejayaan beliau menjadi contoh bahawa kecemerlangan dalam bidang keusahawanan mampu berjalan seiring dengan semangat kebajikan, filantropi dan pengabdian kepada masyarakat. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *