KPM-UTP Meterai Kerjasama Strategik Perkasa Pendidikan Pintar Cerdas Negara

SERI ISKANDAR, 17 Jun 2026 – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) hari ini mencipta satu lagi detik penting dalam pembangunan pendidikan negara menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Pendidikan Pintar Cerdas (PPC) yang bertujuan memperkasakan pembangunan bakat murid berpotensi tinggi serta memperkukuh ekosistem pendidikan pintar cerdas negara.

Majlis pemeteraian yang berlangsung di Undercroft, Universiti Teknologi PETRONAS, Seri Iskandar itu disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KPM, Dato’ Wan Hashim Wan Rahim dan Presiden UTP, Ir. Mohamed Firouz Asnan. Turut hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh, Dr. Zakiah Shafiee dan Provos UTP, Profesor Dr. Benjamin Colin Cosh.

Kerjasama strategik berkenaan menjadi langkah signifikan dalam memperkukuh pelaksanaan Pendidikan Pintar Cerdas (PPC) yang berpusat di Akademi Sains Pendang (ASP), yang berperanan sebagai hab kecemerlangan pendidikan pintar cerdas negara. Inisiatif ini menghimpunkan kepakaran KPM dan UTP bagi memperkasakan pembangunan bakat murid, pengayaan kurikulum, pemerkasaan guru, penyelidikan dan inovasi, pembangunan infrastruktur masa depan serta pengukuhan jaringan strategik bersama universiti dan industri.

Melalui kerjasama tersebut, murid berpotensi tinggi akan memperoleh peluang lebih luas untuk berkolaborasi dengan ahli akademik, penyelidik dan pemain industri selain mendapat akses kepada program pensijilan, penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat yang lebih menyeluruh.

Menurut KPM, usaha ini dijangka mampu memperkukuh pembangunan ekosistem PPC negara menerusi penyediaan peluang pembelajaran bertaraf global, penghasilan penyelidikan dan inovasi murid, pembangunan bakat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), serta melahirkan pemikir ulung yang berintegriti, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Pemilihan UTP sebagai rakan strategik KPM dibuat berdasarkan reputasi cemerlang universiti tersebut dalam bidang penyelidikan dan STEM, selain memiliki jaringan kerjasama yang kukuh bersama pelbagai pemain industri. Keupayaan itu diyakini dapat membantu merealisasikan aspirasi KPM untuk menjadikan Akademi Sains Pendang sebagai pusat kecemerlangan Pendidikan Pintar Cerdas negara yang mampu melahirkan saintis, inovator dan pemimpin bertaraf global.

Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035, KPM menegaskan komitmennya untuk terus memperluaskan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi, industri serta rakan strategik bagi memastikan pembangunan bakat murid Malaysia dapat dilaksanakan secara holistik, mampan dan berimpak tinggi demi kemajuan negara.

β€” Sorotan : Berita Jendela Madani

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *