Hari Alam Sekitar Sedunia: 1,532 kg sisa dikumpul di Kuala Perlis

Oleh: Sholina Osman
Foto: GRASS Malaysia Perlis
13 JUN 2026

Program Hari Alam Sekitar Sedunia dan Hari Laut Antarabangsa 2026 di bertemakan “Blue Coast Revive, The Beach Glow Up” berjaya mengumpul
1,532 kilogram sisa di sekitar Kuala Perlis.

Kenyataan media Explore Perlis Geopark memaklumkan program ini dianjurkan oleh Community Development D & E, Universiti Utara Malaysia (UUM) di Pulau Ketam, Kuala Perlis dan Masjid Kampung Seberang Alor, hari ini.

Program ini juga berjaya menghimpunkan seramai 100 peserta terdiri daripada pelajar UUM, sukarelawan GRASS Malaysia Perlis, komuniti Kampung Warna-Warni Kuala Perlis serta penduduk setempat itu bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan alam sekitar, khususnya kawasan pesisir pantai dan ekosistem marin.

AKTIVITI PEMBERSIHAN PANTAI

“Melalui aktiviti pembersihan pantai yang dijalankan di Pulau Ketam, sebanyak 121 kg sampah berjaya dikutip daripada kawasan pesisir yang menjadi habitat pelbagai spesies marin,” kata kenyataan itu lagi.

Aktiviti ini dilaksanakan dengan kerjasama GRASS Malaysia Perlis dan Kampung Warna-Warni Kuala Perlis yang merupakan sebahagian daripada Komuniti Perlis Geopark, selaras dengan usaha memelihara warisan geologi, biodiversiti dan budaya setempat melalui penglibatan komuniti dalam aktiviti pemuliharaan alam sekitar.

Sebagai rakan strategik program, GRASS Malaysia Perlis bersama Komuniti Kampung Warna-Warni Kuala Perlis memainkan peranan penting dalam membantu pihak penganjur menyelaras operasi pembersihan pantai, menggerakkan sukarelawan dan memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan kawasan pesisir yang menjadi antara tarikan utama pelancongan negeri.

BAHAN KITAR SEMULA

Selain itu, program Trash for Cash yang dijalankan dengan kerjasama E-Idaman Sdn. Bhd. berjaya mengumpulkan 980 kilogram bahan kitar semula, sekali gus menggalakkan masyarakat mengamalkan pengasingan sisa dan ekonomi kitaran.

Dalam masa yang sama, pelbagai aktiviti kelestarian turut dilaksanakan melalui kerjasama SWCorp Perlis dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perlis termasuk Free Market SWCorp, kutipan minyak masak terpakai, serta kutipan e-waste.

Hasilnya, sebanyak 431 kilogram e-waste dan sisa berkaitan, termasuk pelbagai barangan elektronik lusuh, peralatan elektrik terpakai dan bahan buangan khas yang berpotensi mencemarkan alam sekitar, berjaya dikumpulkan untuk dilupuskan serta dikitar semula mengikut prosedur yang selamat dan mesra alam.

MENJAGA KEBERSIHAN PANTAI

Menurut penganjur, kejayaan mengumpulkan lebih 1.5 tan sisa dalam tempoh kurang enam jam membuktikan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan pantai, mengurangkan pencemaran dan menyokong amalan kitar semula semakin meningkat.

Program ini bukan sahaja berjaya membersihkan kawasan pantai dan mengurangkan sisa yang berpotensi mencemarkan alam sekitar, malah turut memperkukuhkan kerjasama antara institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, NGO dan Komuniti Perlis Geopark dalam menjayakan agenda pembangunan lestari negeri.

Program berakhir pada pukul 1 petang dengan semangat kebersamaan yang tinggi, selaras dengan aspirasi melahirkan masyarakat yang lebih bertanggungjawab terhadap pemeliharaan alam sekitar demi kesejahteraan generasi akan datang. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *