UPSI anjur ICDT 2.0 bertemakan “Moh Kiter Ker Pangkor”

Oleh: Sholina Osman
12 JUN 2026

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Mini Showcase Impact Digital Community Tourism (ICDT) 2.0 bertemakan “Moh Kiter Ker Pangkor” yang berlangsung di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, pada 26 Mei lalu.

Kenyataan media UPSI memaklumkan program berimpak tinggi yang dianjurkan dengan kerjasama Lays itu berjaya menghimpunkan pelajar institusi pengajian tinggi, komuniti setempat serta pelbagai pihak berkepentingan dalam usaha memperkasakan sektor pelancongan komuniti melalui pendekatan pemasaran digital dan inovasi teknologi.

Penganjuran program tersebut seiring dengan program Pertandingan Inovasi Produk STEM (EXIST) yang menampilkan pelbagai hasil kreativiti dan inovasi peserta dalam bidang teknologi, reka bentuk produk serta pembangunan solusi komuniti.

BERJAYA MEWUJUDKAN EKOSISTEM

Gabungan kedua-dua program itu dilihat berjaya mewujudkan ekosistem pembelajaran yang lebih holistik dengan mengintegrasikan elemen keusahawanan digital, inovasi STEM dan pembangunan komuniti secara serentak.

Program berkenaan menerima kehadiran dianggarkan antara 800 hingga 900 pengunjung terdiri daripada pelajar UPSI, warga daerah Mualim dan masyarakat sekitar.

Antara pengisian utama program ialah sesi penerangan berkaitan inisiatif Kembara Van Pink (KVP), sebuah platform pelancongan komuniti yang memanfaatkan medium digital bagi mempromosikan potensi ekonomi dan destinasi pelancongan di Pulau Pangkor.

PELANCARAN RASMI AKAUN

Pensyarah Kanan Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi yang juga Mentor KVP, Dr Mohd Fadhil Harfiez, berkata selain itu, majlis turut menyaksikan pelancaran rasmi akaun TikTok dan Facebook KVP sebagai medium pemasaran digital baharu dalam usaha memperluaskan capaian promosi pelancongan komuniti kepada masyarakat umum.

Menurut beliau pendekatan transformasi digital yang diketengahkan menerusi program tersebut berupaya meningkatkan keterlibatan masyarakat terhadap industri pelancongan komuniti di samping membuka ruang baharu kepada pembangunan ekonomi setempat.

“Dengan ini, secara rasminya kami launching TikTok dan FB Kembara Van Pink. Masa yang sama, ada hadiah untuk seorang yang bertuah. Sila scan QR ini dan rebutlah peluang ini. RM50 menanti anda,” katanya.

ARTIS JEMPUTAN TERKENAL

Program turut dimeriahkan dengan kehadiran artis jemputan terkenal, Zaki Yamani dan Nazu.

Dalam konteks pembangunan modal insan, program ICDT 2.0 turut memberi pendedahan praktikal kepada pelajar berkaitan pengurusan program, pemasaran digital dan pengendalian komuniti secara profesional.

Penglibatan langsung pelajar dalam pengoperasian program membolehkan mereka memperoleh pengalaman autentik sebagai entrepreneur digital selain meningkatkan kemahiran komunikasi, kepimpinan dan penyelesaian masalah dalam situasi sebenar.

POTENSI PENINGKATAN EKONOMI

Pada masa sama, komuniti Pulau Pangkor turut menerima manfaat melalui potensi peningkatan ekonomi setempat hasil promosi pelancongan secara digital dan lebih sistematik.

Program tersebut juga berjaya memperoleh hampir 80 peserta baharu sekali gus membuktikan keberkesanan strategi pemasaran digital dalam menarik minat masyarakat terhadap sektor pelancongan komuniti dan pembangunan ekonomi kreatif.

Pengetua Kolej Harun Aminurrashid dalam ucapannya turut menyatakan sokongan terhadap usaha memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi pendidikan, komuniti dan industri dalam melahirkan generasi muda yang lebih kompetitif, inovatif dan berdaya saing.

Beliau berkata, penganjuran program seumpama itu bertepatan dengan aspirasi pendidikan tinggi negara yang menekankan pembelajaran berasaskan pengalaman, pembangunan inovasi dan penglibatan komuniti secara bersepadu. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *