Lambakan warga Rohingya di Perak dibincang dalam MKN – MB Perak

IPOH, 11 Jun- Kerajaan Perak mengambil maklum kebimbangan penduduk berhubung kehadiran warga Rohingya yang dilaporkan semakin ramai di beberapa kawasan di negeri itu khususnya di daerah Manjung.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata perkara berkenaan turut dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kini berada di bawah pemantauan pihak berkuasa

Beliau berkata kerajaan negeri menerima pelbagai maklum balas serta keluhan daripada penduduk tempatan berhubung perkembangan itu.

Katanya, pihak berkuasa turut memantau situasi tersebut dari aspek keselamatan serta kesannya terhadap komuniti setempat.

“Saya tidak dapat anggaran, tetapi dalam maklumat saya ada yang telah membina rumah, walaupun tidak kukuh, dan ada juga sekolah. Sebab itu kita kena lihat dari banyak aspek termasuk aspek keselamatan kepada penduduk tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Bulan Falak Negeri Perak di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) diarahkan membuat penilaian terhadap cadangan menaik taraf jambatan gantung di Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu, Tapah.

Datuk Seri Saarani berkata penilaian itu bertujuan menentukan keperluan sebenar projek termasuk jumlah pengguna serta jenis kenderaan yang menggunakan laluan berkenaan.

Menurutnya, perkara itu turut dibincangkan dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri semalam, selain melibatkan penilaian terhadap kesesuaian reka bentuk dan kos pembinaan.

“JKR dan UPEN akan meneliti justifikasi termasuk jenis kenderaan yang menggunakan laluan itu sebelum keputusan dibuat,” katanya

Sumber berita: RTM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *