PMX berkunjung ke Universiti Tokyo, sampaikan syarahan khas

Wartawan JM
Foto: Pejabat Perdana Menteri (PMO)
9 JUN 2026

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkunjung ke Universiti Tokyo dan bertemu Presidennya Dr Teruo Fujii.

Beliau dijemput untuk menyampaikan syarahan khas bertajuk β€œNilai Kemanusiaan Dalam Peradaban Manusia-Mesin” yang mengangkat persoalan besar zaman ini: apa yang akan terjadi apabila teknologi yang kita cipta semakin berupaya meniru cara manusia berfikir, berkomunikasi dan membuat pertimbangan?

“Kecerdasan buatan berkembang pesat dan membuka ruang baharu yang luar biasa kepada kemajuan manusia. Namun persoalan yang lebih mendasar adalah tentang keupayaan kita mempertahankan hikmah, ihsan, pertimbangan moral dan rasa tanggungjawab dalam mengemudi perubahan yang sedang berlaku,” kata Anwar dalam hantaran di FB.

LANGKAH UNTUK MUNCUL

Beliau berkata Malaysia sedang mengorak langkah untuk muncul sebagai sebuah Negara AI menjelang 2030.

“Saya tegaskan bahawa Asia mesti berperanan membentuk sebuah peradaban digital yang berpaksikan nilai kemanusiaan, keadilan dan kemakmuran yang dikongsi bersama,” kata beliau.

Anwar berkata dunia meraikan pelbagai penerobosan teknologi yang belum pernah dicapai sebelum ini, peperangan, penindasan dan penderitaan manusia masih terus berlaku: genosid di Gaza, pembunuhan kejam anak-anak pelajar di Iran, pembedilan tanpa henti di Lubnan serta krisis tenaga global susulan penutupan Selat Hormuz.

TRAGEDI INI DIPERMUDAH

“Lebih membimbangkan, sebahagian tragedi ini dipermudah dan diperhebat oleh teknologi yang sering kita kaitkan dengan kemajuan,” kata beliau.

Beliau berkata maka ukuran sebenar kemajuan bukanlah pada kecanggihan mesin dan teknologi yang kita hasilkan, tetapi pada sejauh mana ia mengangkat martabat manusia dan memperkukuh keadilan sejagat.

“Saya turut menyentuh gagasan ningen yang dihuraikan ahli falsafah Jepun, Watsuji Tetsurō. Manusia tidak terbentuk dalam keterasingan, tetapi melalui hubungan dengan keluarga, masyarakat, sejarah dan pengalaman hidup yang dikongsi bersama,” kata beliau.

KATA-KATA LUNAK

Beliau berkata teknologi mungkin berupaya menghasilkan kata-kata lunak atau memberi jawapan yang meyakinkan.

“Namun ia tidak mungkin mampu mengenal kehilangan, merasai kasih sayang, memahami penyesalan dan menanggung pengalaman hidup yang memberikan pengertian kepada setiap pertimbangan manusia,” kata beliau.

Anwar berkata masa depan kecerdasan buatan juga merupakan persoalan tentang kuasa dan kedaulatan.

MESTI MEMILIKI KEUPAYAAN

Beliau berkata apabila keupayaan digital semakin tertumpu kepada segelintir negara dan syarikat besar, setiap negara mesti memiliki keupayaan untuk memahami, mengurus dan menentukan hala tuju teknologi yang digunakan oleh masyarakatnya.

Jelas beliau telnologi tidak seharusnya menghakis kemanusiaan, sebaliknya membantu memperkayakannya.

“Cabaran kita bukan untuk menghalang kemajuan, tetapi memastikan kemajuan itu dipandu oleh nilai, disandarkan kepada hikmah dan ihsan, serta menjunjung tanggungjawab dan kepedulian sesama insan,” kata Perdana Menteri. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *