
9 Jun 2026
Perdana Menteri Datok Seri Anwar Ibrahim ke Universiti Tokyo dan bertemu Presidennya Dr Teruo Fujii, sebelum menyampaikan syarahan khas bertajuk βNilai Kemanusiaan Dalam Peradaban Manusia-Mesinβ yang mengangkat persoalan besar zaman ini: apa yang akan terjadi apabila teknologi yang kita cipta semakin berupaya meniru cara manusia berfikir, berkomunikasi dan membuat pertimbangan?
PMX berkata, kecerdasan buatan berkembang pesat dan membuka ruang baharu yang luar biasa kepada kemajuan manusia. Namun persoalan yang lebih mendasar adalah tentang keupayaan kita mempertahankan hikmah, ihsan, pertimbangan moral dan rasa tanggungjawab dalam mengemudi perubahan yang sedang berlaku.
Jelas beliau, Malaysia sedang mengorak langkah untuk muncul sebagai sebuah Negara AI menjelang 2030.
“Saya tegaskan bahawa Asia mesti berperanan membentuk sebuah peradaban digital yang berpaksikan nilai kemanusiaan, keadilan dan kemakmuran yang dikongsi bersama.
” Tatkala dunia meraikan pelbagai penerobosan teknologi yang belum pernah dicapai sebelum ini, peperangan, penindasan dan penderitaan manusia masih terus berlaku: genosid di Gaza, pembunuhan kejam anak-anak pelajar di Iran, pembedilan tanpa henti di Lubnan serta krisis tenaga global susulan penutupan Selat Hormuz. Lebih membimbangkan, sebahagian tragedi ini dipermudah dan diperhebat oleh teknologi yang sering kita kaitkan dengan kemajuan,” kata beliau dalam perkongsian di laman media sosial hari ini.
Katanya, ukuran sebenar kemajuan bukanlah pada kecanggihan mesin dan teknologi yang kita hasilkan, tetapi pada sejauh mana ia mengangkat martabat manusia dan memperkukuh keadilan sejagat.
” Saya turut menyentuh gagasan ningen yang dihuraikan ahli falsafah Jepun, Watsuji TetsurΕ. Manusia tidak terbentuk dalam keterasingan, tetapi melalui hubungan dengan keluarga, masyarakat, sejarah dan pengalaman hidup yang dikongsi bersama.
” Teknologi mungkin berupaya menghasilkan kata-kata lunak atau memberi jawapan yang meyakinkan.
Namun ia tidak mungkin mampu mengenal kehilangan, merasai kasih sayang, memahami penyesalan dan menanggung pengalaman hidup yang memberikan pengertian kepada setiap pertimbangan manusia, ” jelas beliau lagi.
Masa depan kecerdasan buatan juga merupakan persoalan tentang kuasa dan kedaulatan. Apabila keupayaan digital semakin tertumpu kepada segelintir negara dan syarikat besar, setiap negara mesti memiliki keupayaan untuk memahami, mengurus dan menentukan hala tuju teknologi yang digunakan oleh masyarakatnya.
Teknologi tidak seharusnya menghakis kemanusiaan, sebaliknya membantu memperkayakannya. Cabaran kita bukan untuk menghalang kemajuan, tetapi memastikan kemajuan itu dipandu oleh nilai, disandarkan kepada hikmah dan ihsan, serta menjunjung tanggungjawab dan kepedulian sesama insan.
