






Oleh: Sholina Osman
2 JUN 2026
Perlis sedang menyiapkan diri untuk melangkah ke era baharu transformasi ekonomi melalui infrastruktur fizikal negeri yang bakal diperkukuh secara drastik dan sistematik bagi memacu gelombang perindustrian masa hadapan.
Langkah lebih agresif ini diharap dapat menjadi sebagai pelan serampang dua mata untuk meletakkan negeri utara tanah air ini sebagai hab ekonomi yang kompetitif dan lebih dinamik.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, agenda memperluas kemudahan pelabuhan darat disusuli dengan pelabuhan laut satu hari nanti, memajukan kawasan perindustrian baharu, serta memperkasakan rangkaian telekomunikasi moden adalah prasyarat kritikal yang diusahakan bagi membina ekosistem perdagangan yang utuh.
PEMANGKIN PELABURAN ASING
Titah Baginda, pengukuhan aspek-aspek berkenaan bukan sahaja bertindak sebagai pemangkin pelaburan asing, malah diharap akan menjadi tulang belakang yang menyokong kelancaran rantaian bekalan domestik dan antarabangsa.
Pembangunan berimpak tinggi ini, yang diterajui oleh projek strategik seperti Perlis Inland Port (PIP) yang baharu sahaja dirasmikan oleh Tuanku Raja Perlis dan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), dijangka mampu mengubah landskap sosioekonomi negeri secara menyeluruh.
Dengan memanfaatkan kedudukan geografinya yang strategik di pintu sempadan dengan Thailand, Perlis semakin bersedia untuk menggalas peranan sebagai gerbang logistik yang menghubungkan Malaysia dengan pasaran serantau ASEAN yang lain.
MEMPERTINGKATKAN UTILITI DIGITAL
Komitmen padu dalam mempertingkatkan utiliti digital dan fizikal ini bukan sekadar tentang pertumbuhan angka KDNK, tetapi juga lambang kesungguhan negeri ini dalam mencipta limpahan ekonomi yang lebih inklusif.
Di penghujungnya, transformasi sebegini diyakini mampu membuka lembaran baharu melalui penciptaan peluang pekerjaan yang berkualiti demi kemakmuran dan masa depan umat Perlis secara menyeluruh.
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra selepas berkenan berangkat menyempurnakan Program Promosi Masakan Perlis yang diadakan di Riverside Café & Restaurant, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) baru-baru ini.
MERUPAKAN KOLABORASI STRATEGIK
Inisiatif gastronomi ini merupakan kolaborasi strategik antara restoran berkenaan dengan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF), dan Restoran Shamiza Mohd Noor Guar Nangka, Perlis.
Promosi ini menonjolkan menu warisan Kurma Daging Perlis yang disediakan secara khusus oleh Eksekutif Cef restoran itu, Muhamad Rusmi Che Dol.
Masakan Kurma Daging Perlis, yang terkenal sebagai antara hidangan autentik dan warisan kulinari Negeri Perlis, diketengahkan sebagai salah satu menu utama kepada para pengunjung WTCKL sepanjang berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 dari 29 Mei hingga 7 Jun 2026.
KEISTIMEWAAN JUADAH PERLIS
Ia merupakan platform terbaik untuk memperkenalkan keistimewaan juadah Perlis kepada pengunjung dari seluruh negara serta pelancong antarabangsa yang hadir ke pesta buku terbesar negara itu.
Pada masa yang sama, usaha ini turut menyokong agenda mempromosikan produk pelancongan, budaya, ekonomi dan identiti Negeri Perlis melalui pendekatan yang lebih dekat dengan masyarakat.
Turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda-anakanda puteri Baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
PROMOSI MASAKAN PERLIS
Simbolik Promosi Masakan Perlis tersebut telah disempurnakan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra dengan diiring oleh Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim, dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan WTCKL, Fauzy Wahab.
Program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan dalam mengangkat warisan juadah tradisional Perlis sebagai aset budaya yang bernilai tinggi, sekali gus memperkukuhkan kedudukan negeri itu sebagai destinasi yang kaya dengan keunikan gastronomi, tradisi dan warisan Melayu negeri Perlis. – JM
