FAMA Perlis promosi produk tempatan di Program Jualan Agro MADANI Edisi Perlis

Oleh: Sholina Osman
22 MEI 2026

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Perlis terus mempergiat usaha memperkenalkan serta mempromosikan keistimewaan hasil pertanian negeri Perlis menerusi penganjuran Program Jualan Agro MADANI Edisi Perlis yang berlangsung di FAMA Point, Ibu Pejabat FAMA, Bandar Baru Selayang, Selangor.

Program yang berlangsung bermula seawal jam 7.30 pagi hingga 1.00 tengah hari itu telah disempurnakan pelancarannya oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri dan Pengarah FAMA Negeri Perlis, Mohd Anzara Azizan bersama barisan pengurusan tertinggi FAMA.

HASIL PERTANIAN ASLI

Program ini mengetengahkan pelbagai produk dan hasil pertanian asli negeri Perlis dengan tarikan utama berupa penjualan Mangga Harumanis premium, set kombo khas Edisi Perlis serta pelbagai pilihan produk agromakanan meliputi sayur-sayuran segar, buah-buahan tempatan, ayam segar dan barangan keperluan asas yang dijual terus kepada pengguna tanpa melalui rantaian orang tengah.

Selain itu, program ini turut melibatkan penyertaan usahawan bimbingan FAMA Perlis yang terdiri daripada pengusaha tempatan industri makanan, produk kerepek, pes masakan serta produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) asli Perlis.

Para peladang dan pengusaha ladang di bawah FAMA turut mengambil bahagian dengan membekalkan mangga Harumanis Perlis gred premium yang segar dan baru dipetik, manakala usahawan tani pula menawarkan hasil sayur-sayuran dan buah-buahan terus dari ladang kepada pengguna.

PRODUK MANGGA HARUMANIS

Sempena program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan simbolik perasmian berasaskan produk Mangga Harumanis Perlis serta melancarkan Program Jualan Agro MADANI Edisi Perlis menerusi gimik plak perasmian.

Baginda berdua turut berkenan melawat beberapa rerurai jualan dan menyaksikan pelbagai promosi istimewa termasuk β€œHappy Hour Kombo MADANI”, β€œHappy Hour Mangga Harumanis Perlis” serta simbolik β€œKacau Pulut Kucai Harumanis Perlis” sebagai simbol sokongan terhadap produk tradisional dan usahawan tempatan.

Penganjuran Program Jualan Agro MADANI Edisi Perlis ini bukan sahaja menjadi platform memperkenalkan keunikan hasil pertanian negeri Perlis kepada masyarakat luar, malah turut memperkukuhkan jaringan pemasaran usahawan tani tempatan serta membantu rakyat mendapatkan produk segar berkualiti pada harga berpatutan.

Inisiatif seumpama ini juga selari dengan usaha memperkasakan sektor agromakanan negara dan memperluaskan akses pasaran kepada usahawan tempatan secara lebih mampan dan berdaya saing. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *