






Oleh: Sholina Osman
21 MEI 2026
Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menerima undangan bagi menghadiri ‘Majlis Tautan Kasih Bersama Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Majlis Amanah Rakyat (MARA)’ yang berlangsung di Kangar.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Pengerusi PUSPANITA MARA, Datin Saiful Munira Md. Ali.
Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi PUSPANITA, Lailatul Asmah Mohd Tahir bersama barisan kepimpinan serta ahli-ahli PUSPANITA MARA.
MEMPERKASA PERANAN WANITA
Menurut Saiful Munira dalam ucapan aluannya, penganjuran program ini merupakan kerjasama strategik antara Pejabat MARA Negeri Perlis dan PUSPANITA MARA dalam usaha memperkukuh penglibatan serta memperkasakan peranan wanita dalam bidang keusahawanan, pendidikan dan khidmat masyarakat demi pembangunan negara yang lebih progresif dan inklusif.
Majlis ini turut menjadi platform mempererat hubungan silaturahim, memperluas jaringan kerjasama serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan warga PUSPANITA MARA melalui pelbagai pengisian bermanfaat dan berimpak tinggi.
Antara pengisian utama program ialah lawatan pendidikan yang memberi peluang kepada ahli-ahli PUSPANITA MARA mengenali dengan lebih dekat keunikan Negeri ini sebagai pengeluar utama Harumanis Perlis, varieti mangga premium yang menjadi identiti serta kebanggaan semua.
PARA PESERTA DIDEDAHKAN
Melalui lawatan tersebut, para peserta didedahkan kepada proses penanaman, pengurusan kebun, pemasaran serta potensi ekonomi industri Harumanis dalam menjana pendapatan usahawan tempatan dan memperkukuh sektor agro pelancongan negeri.
Program ini bukan sahaja memberi impak positif dari aspek pembangunan sahsiah dan perkongsian ilmu, malah turut memainkan peranan penting dalam mempromosikan produk tempatan Perlis ke peringkat lebih luas, khususnya Harumanis yang semakin mendapat perhatian di dalam dan luar negara.
Inisiatif seumpama ini juga selaras dengan aspirasi melahirkan masyarakat yang lebih prihatin, berilmu dan berdaya saing melalui pendekatan jaringan komuniti, pendidikan sosial dan pemerkasaan wanita.
SALAH SATU IKON
Para peserta turut mengadakan kunjungan ke Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna Warni Seberang Ramai Kuala Perlis yang kini menjadi salah satu ikon utama bagi para pengunjung ke sini.
Sempena majlis tersebut, Tuanku Raja Puan Muda Perlis turut berkenan menyempurnakan simbolik pelancaran Sambutan Hari Wanita PUSPANITA MARA sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkasa peranan dan sumbangan wanita dalam pelbagai bidang pembangunan negara. – JM
