



Oleh: Sholina Osman
21 MEI 2026
Keheningan kariah Kampung Bukit, Pokok Sena, Kedah dekat sini bertukar ceria apabila Masjid Ar-Rayyan
dipilih menjadi medan transformasi rohani dan jati diri buat 96 anak muda menerusi Program “TVET STAR Future Leader” baru-baru ini.
Program berimpak tinggi ini merupakan anjuran bersama Jawatankuasa Zakat Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) serta Jabatan Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar(JHEPP) POLIMAS.
Penganjuran program di dalam kariah masjid berkenaan bertujuan memanfaatkan institusi ibadah sebagai pusat penyebaran ilmu, sahsiah, dan kepimpinan berteraskan ajaran Islam, sekali gus mempromosikan peluang pendidikan TVET di POLIMAS.
SEBAGAI LOKASI PROGRAM
Ketua Jabatan Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar POLIMAS, Saiful Nizam Saβarim berkata pemilihan Masjid Ar-Rayyan sebagai lokasi program adalah langkah strategik untuk mendekatkan pelajar dengan rumah ibadah.
“Kita mahu melahirkan generasi yang bukan sahaja cintakan ilmu, tetapi mempunyai ikatan hati yang kuat dengan masjid. Di sini, mereka belajar meningkatkan penghayatan ibadah harian, disiplin, dan nilai kepimpinan untuk menjadi modal insan yang seimbang,” ujar beliau.
Pengarah program Afzanizam Alias pula ketika ditemui berkata, βPihak masjid, peserta dan semua jawatankuasa telah memberikan kerjasama yang amat baik sepanjang program berlangsung sehingga segala aktiviti dapat dilaksanakan dengan lancar seperti yang dirancangβ.
MEMBENTUK PEMIMPIN MUDA
Menurutnya lagi, program tersebut berjaya membentuk pemimpin muda yang berdaya saing, berintegriti dan mampu membuat keputusan secara strategik di samping meningkatkan kemahiran komunikasi, kerja berpasukan dan keyakinan diri peserta dalam memimpin organisasi.
Pengerusi Masjid Ar-Rayyan, Muhamad Nasir Zain melahirkan rasa bangga apabila masjid pimpinannya dipilih menjadi tuan rumah kepada program murni ini.
“Masjid adalah nadi komuniti. Kehadiran anak-anak muda memenuhi ruang Masjid Ar-Rayyan di sepanjang program ini menghidupkan syiar Islam. Ukhuwah Islamiah yang terbina membuktikan pihak masjid dan institusi pendidikan seperti POLIMAS mampu bekerjasama erat demi memandu masa depan remaja kita,” katanya.
MENGIKUTI PELBAGAI AKTIVITI
Sepanjang berkampung di Masjid Ar-Rayyan, para peserta yang berumur antara 10 hingga 17 tahun mengikuti pelbagai aktiviti yang mencabar fizikal dan mental:
- Ceramah Motivasi Islam: Menyuntik kesedaran dan inspirasi membina jati diri.
- Latihan Dalam Kumpulan (LDK): Menguji semangat kerja berpasukan di persekitaran masjid.
- Aktiviti Riadah Sunnah: Membina kecergasan fizikal berlandaskan syiar Islam.
- Aktiviti Kerohanian: Melatih kekusyukan ibadah dan solat berjemaah di dewan solat utama.
Program ini mengumpulkan seramai 40 pelajar sekolah rendah dan 56 pelajar sekolah menengah sekitar daerah ini, melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bukit, SK Bukit Payung, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Payung, dan SMK Naka.
MEMBERI IMPAK MENDALAM
Bagi Nur Soffa Huda Hambali, pelajar Tingkatan 3 SMK Naka, pengalaman mengikuti program di masjid ini memberi impak mendalam terhadap pengurusan dirinya.
“Suasana di Masjid Ar-Rayyan sangat tenang dan membantu saya fokus. Saya belajar banyak tentang erti disiplin dan betapa pentingnya menjaga ibadah harian jika mahu berjaya dalam pelajaran,” kongsinya penuh semangat.
Rakan sekolahnya, Muhammad Awal Syawal Azizan, turut berkongsi impak positif yang diterimanya.
“Aktiviti LDK dan riadah sunnah di kawasan masjid mengajar saya menjadi ketua bertanggungjawab.
Program ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk menerokai peluang menyambung pengajian di POLIMAS suatu hari nanti,” katanya. – JM
