
KUALA LUMPUR, 4 Mei β Datuk Seri Suriani Ahmad dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang baharu berkuat kuasa mulai hari ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pelantikan Datuk Seri Suriani diyakini mampu memperkukuh kecemerlangan kementerian itu berdasarkan pengalaman luas beliau dalam pentadbiran kerajaan, dasar awam serta hubungan antarabangsa.
βDengan kompetensi dan pengalaman yang dimiliki, beliau diyakini dapat memacu kecemerlangan KKDW dalam pembangunan ekonomi desa serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar berteraskan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam bagi mencapai aspirasi Malaysia MADANI,β katanya dalam kenyataan hari ini.
Datuk Seri Suriani, 58, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) dari Universiti Sains Malaysia serta Ijazah Sarjana Sastera dalam bidang Strategi dan Diplomasi dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Beliau memiliki pengalaman luas apabila pernah menyandang jawatan Ketua Setiausaha di beberapa kementerian utama termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Kesihatan.
Pelantikan beliau dilihat selari dengan usaha kerajaan memperkukuh agenda pembangunan luar bandar secara menyeluruh selain memastikan kesejahteraan masyarakat desa terus diperkasa menerusi penyampaian perkhidmatan awam yang lebih berkesan.
Sementara itu, KKDW dalam kenyataan berasingan merakamkan ucapan tahniah dan selamat datang kepada Datuk Seri Suriani atas pelantikan tersebut.
Menurut kementerian itu, pihaknya komited memberikan sokongan padu kepada kepimpinan beliau dalam usaha memperkukuh pembangunan desa serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar.
βSelamat menjalankan amanah dan tanggungjawab dalam menerajui kepimpinan kementerian ke arah memperkukuh pembangunan desa serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar,β menurut kenyataan tersebut.
