OPS TIRIS 4.0 (BERSEPADU): TINDAKAN UNDANG-UNDANG DIMAHKAMAH DISEGERAKAN

23 April 2026

Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi
Penguatkuasaan Bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan
(JTPAP) pada 6 April 2026 telah memutuskan supaya disegerakan
keseluruhan proses tindakan undang-undang melibatkan kesalahan-
kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup
Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ini
meliputi
proses siasatan, pendakwaan dan pendengaran di mahkamah.

Beliau berkata, pendekatan ini diambil untuk memastikan pemerkasaan penguatkuasaan
bagi menangani isu ketirisan barang kawalan khususnya bahan api petrol
dan diesel terlaksana secara berkesan dengan pihak-pihak yang
bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin.

Jelas beliau lagi ini
sekali gus menjadi sebahagian daripada mekanisme pencegahan serta
pengurusan risiko penyelewengan dan penyeludupan demi menjamin
kelangsungan keterjaminan bekalan untuk rakyat dan kegunaan dalam
negara secara keseluruhannya.

Jelas beliau, susulan daripada keputusan tersebut, Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengambil tindakan dengan
mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak yang berkaitan dan telah
mendapat respon positif daripada Jabatan Peguam Negara dan Pejabat
Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan.

Katanya, selain kedua-dua institusi
berkenaan, KPDN juga telah memperkemaskan Prosedur Operasi
Standard (SOP) bagi kes-kes serahan daripada agensi-agensi
penguatkuasaan lain kepada Bahagian Penguat Kuasa, KPDN bagi
memastikan proses dan penyediaan kertas siasatan dapat dilengkapkan
segera untuk dipanjangkan kepada Jabatan Peguam Negara.

PENAMBAHBAIKAN

Beliau berkata, antara cadangan yang dikemukakan ialah melalui penambahbaikan di
peringkat kehakiman seperti penyediaan saluran fast-track, penetapan
hakim khusus (designated judge) dan penyelarasan pasukan pengurusan
kes antara agensi dan institusi bagi mempercepatkan proses
pendengaran dan seterusnya pelupusan kes dalam tempoh munasabah.

” Keutamaan akan diberikan kepada pendakwaan kes-kes kartel sindiket
serta pendekatan bersasar seperti perundingan akuan (plea bargaining)
bagi kes-kes kecil.

” Cadangan ini adalah untuk mempercepat dan
memperkukuh tindakan pendakwaan secara lebih berkesan, sekali gus
memberi isyarat tegas bahawa aktiviti penyelewengan dan penyeludupan
barang kawalan tidak akan dikompromi, ” katanya.

Beliau berkata, fokus JTPAP adalah untuk memastikan kes-kes yang dihasilkan melalui
OPS TIRIS 4.0 (BERSEPADU) akan segera diselesaikan ke peringkat
pendakwaan dan pendengaran di mahkamah.

” Ini adalah sejajar dengan
komitmen Kerajaan untuk membanteras aktiviti penyelewangan dan
penyeludupan barang kawalan khususnya bahan api dalam tempoh krisis
tenaga global yang berlaku akibat Konflik Asia Barat.

” Tindakan penguatkuasaan yang agresif dan tegas ini menjadi lebih
penting apabila konflik yang berlarutan sejak 28 Februari 2026 lalu telah
membawa bukan sahaja krisis tenaga global tetapi kini telah memasuki
fasa krisis bekalan global dan Malaysia tidak terkecuali daripada
menerima implikasi yang semakin membesar, ” jelas beliau lagi.

Sementara itu, susulan daripada keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac
2026, JTPAP telah diaktifkan serta merta dan OPS TIRIS 4.0
(BERSEPADU) telah berkuat kuasa bermula 16 Mac 2026.

Pelaksanaan
OPS TIRIS 4.0 (BERSEPADU) melibatkan pelbagai agensi penguat
kuasa berkaitan meliputi tiga sektor utama iaitu daratan, perairan dan
sempadan.

PENERAJU UTAMA

Agensi peneraju utama bagi sektor darat diterajui oleh KPDN.
Manakala, sektor sempadan diterajui oleh PDRM dan sektor perairan
diterajui oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), yang
kedua-duanya merupakan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri
(KDN).

Melalui pelaksanaan OPS TIRIS 4.0 (BERSEPADU), bermula 16 Mac
2026 sehingga 22 April 2026 sebanyak 20,020 pemeriksaan telah
dilakukan di seluruh negara yang menghasilkan 362 kes serta penahanan
seramai 105 individu.

Daripada 362 kes tersebut, penyelewengan bahan
api diesel dan petrol mencatatkan jumlah kes tertinggi. Pecahan kes
mengikut jenis barang kawalan yang direkodkan adalah seperti berikut:

i. Diesel – 157 kes;
ii. Petrol – 78 kes;
iii. Gas Petroleum Cecair (LPG) – 49 kes;
iv. Minyak Masak – 42 kes;
v. Gula – 26 kes;
vi. Tepung Gandum – 10 kes.

Bagi penguatkuasaan OPS TIRIS 4.0 (BERSEPADU) di Negeri Johor,
bagi tempoh yang sama, sebanyak 2,227 pemeriksaan telah dilakukan
yang telah merekodkan 23 kes.

Daripada jumlah kes tersebut, komoditi
diesel merekodkan kes tertinggi iaitu 13 kes, diikuti dengan dua kes
melibatkan penyelewengan bahan api petrol.

KPDN akan terus memperhebat penguatkuasaan melalui pendekatan
berasaskan risikan, penggunaan data, pemantauan yang lebih rapi serta
kerjasama strategik merentas agensi.

Melalui inisiatif KITA GEMPUR
(Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan), KPDN menyeru
seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama membantu dalam
mengekang aktiviti penyelewengan barang kawalan dan barang kawalan
bersubsidi.

Sebarang aduan atau maklumat boleh disalurkan melalui:
i. WhatsApp 019-848 8000;
ii. Portal e-Aduan KPDN (https://eaduan.kpdn.gov.my);
iii. Call Centre 1-800-886-800; dan
iv. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *