


Putrajaya, 15 April β Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperkukuh komitmen dalam memelihara integriti aset negara menerusi kerjasama strategik bersama Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) khususnya membabitkan aspek teknikal pemuliharaan empat karya seni bernilai tinggi yang dikaitkan dengan kes 1MDB.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata, rampasan karya seni ini bukan sekadar kejayaan penguatkuasaan malah membuktikan usaha berterusan SPRM dalam membanteras jenayah kewangan berskala besar demi membawa pulang khazanah milik negara.
βMeskipun proses perundangan dan keputusan mahkamah bagi tujuan perlucutan hak masih berjalan, keutamaan SPRM kini adalah memastikan keselamatan dan keadaan fizikal barang kes tersebut kekal terpelihara tanpa sebarang kerosakan,” katanya ketika menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pengarah LPSVN, Amerrudin Ahmad di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.
Beliau berkata, SPRM turut berhasrat untuk menjadikan karya seni ini sebagai sebahagian daripada bahan sejarah negara untuk dipamerkan kepada umum setelah semua proses undang-undang selesai kerana ia merupakan simbolik kepada ketegasan negara dalam menentang ketirisan aset melalui amalan rasuah.
Sementara itu, Amerrudin berkata, Balai Seni Negara bersedia untuk memberikan khidmat kepakaran melalui fasiliti khusus kerana karya seni itu mempunyai sifat sensitiviti tinggi dan penempatan di ruangan biasa berisiko akan menjejaskan nilai estetika serta nilai pasaran karya.
Sehubungan itu, penggunaan bilik kebal dengan kawalan suhu dan kelembapan di Balai Seni Negara dilihat sebagai langkah mitigasi terbaik sebelum dipamerkan kepada umum.
Kunjungan hormat itu diakhiri dengan sesi pemeriksaan fizikal karya seni tersebut yang dikendalikan oleh pasukan Art Hospital, Balai Seni Negara yang merupakan Pusat Repositori dan Konservasi Seni Negara berfungsi sebagai pusat repositori catan, karya atas kertas, objek seni dan arca.
Kolaborasi antara agensi penguatkuasaan dan LPSVN membuktikan bahawa pengurusan barang kes termasuk melibatkan aspek keselamatan dilaksanakan dengan penuh integriti bagi menjamin pemuliharaan khazanah negara.
Turut hadir Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Dato’ Mohamad Zamri Zainul Abidin; Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, PKPj Hisyam Mohd Yusoff; Timbalan Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Tuan Jules Rahman Ong; Ketua Cawangan Sektor Operasi Berprofil Tinggi SPRM, PKPj Ting Ing Ping; Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan LPSVN, Muhammad Syahdan Shamsudin; Ketua Unit Komunikasi Korporat LPSVN, Mohd Zuriyadi Sarpin dan Kurator Seksyen Koleksi dan Konservasi LPSVN, Mohd Azrul Amin Arshad.
