


15 April 2026
Krisis tenaga global yang berlarutan, susulan konflik di Asia Barat, terus memberi
tekanan kepada kos bahan api dan rantaian bekalan di seluruh dunia.
Dalam keadaan
ini, Kerajaan MADANI mengambil langkah segera untuk menambah baik bantuan
kepada pengguna diesel bagi meringankan beban rakyat serta memastikan aktiviti
ekonomi terus berjalan lancar.
Penambahbaikan ini dibuat mengambil kira tekanan berterusan dalam pasaran
tenaga global, khususnya gangguan bekalan petroleum di peringkat antarabangsa
yang menyebabkan harga diesel bertapis meningkat ketara sehingga AS$250 setong
β hampir tiga kali ganda berbanding sebelum konflik Asia Barat.
YAB Datoβ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, menegaskan
bahawa Kerajaan memahami kesan langsung kenaikan kos ini kepada rakyat dan
telah mengambil langkah segera untuk menambah baik bantuan secara bersasar,
khususnya kepada pesawah, petani, pekebun kecil serta pemilik kenderaan diesel
individu yang layak.
βKeutamaan Kerajaan MADANI adalah jelas: memastikan keterjaminan bekalan
barangan asas untuk rakyat, ekoran kenaikan harga minyak mendadak dan gangguan
rantaian bekalan dunia. Langkah yang diumumkan hari ini melibatkan perbelanjaan
tambahan, antaranya untuk membantu pengeluar makanan, demi kelangsungan
bekalan makanan untuk rakyat,β tambah beliau.
Sehubungan itu, Kerajaan MADANI telah bersetuju melaksanakan langkah-langkah
berikut:
- Sokongan kepada pesawah diperkukuh
Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) bagi musim penanaman 2026
dinaikkan daripada RM160 kepada RM300 sehektar. Kenaikan ini melibatkan
tambahan dana sekitar RM40 juta, dan dijangka memanfaatkan hampir 200,000
pesawah padi, yang sebahagiannya bakal memulakan penanaman padi pada
bulan ini.
Sebagai bantuan tambahan, tahun lalu juga, Kerajaan MADANI memperkenalkan
Insentif Penuaian sebanyak RM50 untuk sehektar semusim bagi meringankan
beban kenaikan kos input.
- Bantuan tunai diesel ditingkatkan
- β
Bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu dinaikkan daripada
RM300 kepada RM400 sebulan bagi April 2026, dan akan disalurkan pada 21
April 2026 (Selasa).
Ini adalah kali kedua bantuan tersebut telah dinaikkan
susulan krisis ini.
- BUDI Agri-Komoditi dijangka memanfaatkan lebih 200,000 petani dan pekebun
kecil, dengan dana tambahan sekitar RM20 juta sebulan - BUDI Diesel Individu dijangka memanfaatkan sekitar 150,000 pemilik
kenderaan diesel individu di Semenanjung Malaysia, dengan dana tambahan
sekitar RM15 juta sebulan
Kementerian Kewangan (MoF) dijangka menanggung subsidi sekitar RM7 bilion untuk
April 2026, termasuk dana tambahan RM75 juta, untuk ketiga-tiga ikhtiar bantuan
diesel.
Selain itu, Kerajaan juga bersetuju untuk memudahcara pembelian diesel bagi
kegunaan selain kenderaan.
Syarat keperluan permit khas bagi pembelian melebihi
20 liter akan dilonggarkan.
Pemilik mesin atau jentera pertanian dibenarkan membeli
diesel melebihi had tersebut dengan mengemukakan pendaftaran jentera.
Kerajaan
akan memperincikan garis panduan pelaksanaan dalam tempoh terdekat.
Kerajaan MADANI, melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), akan terus
memantau perkembangan terkini di Asia Barat serta impaknya kepada Malaysia, dan
sedia mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk membantu golongan rakyat yang
terkesan serta menstabilkan ekonomi.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
14 April 2026
