


Wartawan JM
14 APRIL 2026
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menerima laporan daripada CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) pada Sabtu, 11 April 2026 berhubung gangguan perkhidmatan 2G dan 4G di sekitar Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Kenyataan media MCMC memaklumkan dari siasatan awal mendapati, gangguan tersebut berpunca daripada aktiviti vandalisme dan kecurian ke atas sebuah menara komunikasi milik CelcomDigi di Bukit Pilah.
Akibat perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut, gangguan turut menjejaskan 13 menara komunikasi lain serta hampir 1,668 pengguna daripada pelbagai syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi di sekitar kawasan Kuala Pilah.
MENGADAKAN LAWATAN TAPAK
Susulan itu, pihak MCMC telah mengadakan lawatan tapak ke lokasi terjejas bersama pihak CelcomDigi dan mendapati beberapa peralatan komunikasi, termasuk peralatan seperti Radio Transport System (RTS) dan Baseband Unit (BBU), telah dicuri.
Kejadian ini mengakibatkan gangguan perkhidmatan di kawasan berhampiran serta menjejaskan operasi menara komunikasi lain.
Pihak CelcomDigi telah melaksanakan kerja-kerja pemulihan dengan mengaktifkan semula menara komunikasi yang terjejas secara berperingkat.
14 MENARA KOMUNIKASI
Kesemua 14 menara komunikasi kini telah kembali beroperasi dan mula menyediakan perkhidmatan kepada pengguna.
Sehubungan dengan itu, orang awam diseru untuk memainkan peranan dengan melaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau mana-mana pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di sekitar menara komunikasi.
MCMC tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang menjejaskan infrastruktur komunikasi.
Perbuatan vandalisme terhadap
kemudahan telekomunikasi adalah kesalahan serius di bawah Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima (5) tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – JM
