KDN perketat pemantauan di lebih 80 stesen minyak di sempadan negara

PADANG BESAR, 11 April – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengatur gerak anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memantau lebih 80 stesen minyak di kawasan sempadan negara, bagi mengekang ketirisan bekalan petrol dan diesel negara.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata langkah itu selaras dengan arahan Kabinet minggu lalu yang mahu penguatkuasaan berkaitan ketirisan bahan api dipertingkatkan.

Menurut beliau, pengawalan ketat terhadap bekalan petrol dan diesel ketika ini amat penting, khususnya dalam situasi pergolakan di Asia Barat yang berpotensi memberi kesan kepada kestabilan bekalan tenaga.

β€œKetua Polis Negara juga telah menerima arahan untuk mengatur gerak anggota PDRM di lebih 80 stesen minyak di seluruh kawasan sempadan negara.

β€œDalam kekuatan keseluruhan kira-kira 120,000 anggota, fungsi teras pasukan tetap kekal, iaitu membanteras jenayah narkotik, pemerdagangan manusia serta jenayah komersial. Itu kekal sebagai fokus utama. Namun, pada masa yang sama, kita juga perlu mengawal dan memantau stesen minyak, walaupun langkah itu bukan untuk tempoh yang terlalu lama. Jika krisis ini berakhir, kita akan menilai semula keperluan peranan tersebut. Dan untuk diperjelaskan, ia bukan melibatkan semua 4,000 stesen minyak di seluruh negara, sebaliknya hanya stesen minyak di kawasan sempadan. Tujuannya juga khusus, iaitu bagi menghalang aktiviti penyeludupan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Lawatan Kerja dan Pemantauan Operasi Kawalan Sempadan di Padang Besar, hari ini.

Dalam lawatan itu, Datuk Seri Saifuddin turut meninjau kawasan perbatasan di sekitar Durian Burung, Bukit Kayu Hitam dan Padang Besar menerusi pemantauan udara.

Beliau juga sempat melawat beberapa pos kawalan sempadan milik Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi menilai tahap kesiapsiagaan penguatkuasaan di kawasan berisiko.

Sumber: RTM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *