





Oleh: Sholina Osman
2 APRIL 2026
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memulakan siasatan terhadap lima
individu yang disyaki telah
menyebarkan maklumat berunsur palsu mengenai kenaikan harga bahan api petrol dan diesel di platform media sosial Threads.
Kenyataan media MCMC memaklumkan tiga daripada lima
suspek tersebut telah dipanggil untuk rakaman percakapan bagi membantu
siasatan.
Menurut aduan yang diterima, kandungan yang disebarkan oleh kesemua suspek berkaitan kenaikan harga bahan api petrol dan diesel didapati palsu, mengelirukan serta berpotensi menimbulkan kegelisahan kepada pengguna.
PENAFIAN TERHADAP PENERBITAN
Hasil semakan lanjut, pihak Buletin TV3 telah mengeluarkan penafian terhadap penerbitan kandungan yang disunting menggunakan identiti visual mereka.
Susulan itu, pihak MCMC juga telah menerima aduan daripada Buletin TV3 bahawa kandungan palsu yang tular tersebut adalah bukan daripada mereka dan dilakukan oleh pihak ketiga.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
PENYALAHGUNAAN PLATFORM MEDIA
MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial yang bertujuan untuk mengelirukan orang ramai dengan penyebaran maklumat palsu.
Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang
didapati melanggar undang-undang sedia ada.
Orang ramai diingatkan agar sentiasa bertanggungjawab dalam menggunakan platform media sosial serta tidak menyalahgunakan kemudahan komunikasi bagi memuat naik atau menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam. – JM
