
Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
25 MAC 2026
Malaysia menzahirkan kebimbangan terhadap konflik semasa serta menghargai sumbangan Mesir dalam menggesa pihak bertelagah ke arah de-eskalasi, dialog dan penghentian segera keganasan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika perbualan telefon dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi, bagi menyampaikan ucapan Aidilfitri.
Selain itu Anwar turut menegaskan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan dua hala ke tahap Perkongsian Strategik.
Beliau berkata menyentuh isu Palestin, Malaysia menyokong usaha Mesir dalam membantu Gaza serta menegaskan bahawa sebarang inisiatif keamanan mesti berteraskan gencatan senjata dan akses kemanusiaan.
“Saya turut memohon sokongan Mesir terhadap misi bantuan kemanusiaan 2026 melalui sempadan Rafah yang bakal dilancarkan tidak lama lagi,” kata Anwar dalam perkongsian di FB. – JM
