



Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
25 MAC 2026
Kerajaan MADANI komited untuk memperkukuh kebajikan anggota, meningkatkan keupayaan pasukan serta memelihara maruah PDRM.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata integriti mesti terus diperkasa bukan sekadar sebagai slogan, tetapi sebagai amalan yang dizahirkan dalam setiap tindakan.
“Alhamdulillah, salut saya kepada seluruh warga PDRM yang terus setia memikul amanah menjaga keamanan negara,” kata beliau dalam hantaran di FB.
Terdahulu Anwar hadir bagi meraikan Sambutan Hari Polis ke-219 iaitu sebuah detik yang mengangkat erti pengabdian, kesetiaan dan pengorbanan pasukan ini kepada negara.
BUKAN SEKADAR TUGAS
Anwar berkata di sebalik seragam itu bukan sekadar tugas, tetapi pengorbanan yang besar, waktu bersama keluarga yang ditinggalkan, risiko yang tidak mengenal waktu, serta kesetiaan yang utuh demi rakyat dan tanah air.
“Hakikatnya, keamanan yang kita kecapi hari ini tidak hadir dengan mudah, tetapi lahir daripada kecekalan, disiplin dan keberanian kalian,” jelas beliau.
Dalam apa jua keadaan, kata Anwar berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa berada di barisan hadapan, menegakkan undang-undang dengan adil tanpa mengira pangkat dan darjat, demi memastikan keselamatan rakyat terus terpelihara.
“Terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan yang dicurahkan. Semoga Allah SWT sentiasa memelihara langkah kalian, mengurniakan kekuatan dan memberkati setiap usaha yang dilaksanakan. Selamat Hari Polis ke-219,” kata Perdana Menteri. – JM
