




Oleh: Sholina Osman
25 MAC 2026
Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah dilaksanakan Solat Al-Istisqa’ (Memohon Hujan) di tanah lapang (musolla) di Dataran Istiadat, Istana Arau pada pukul 8 pagi, 26 Mac 2026 (Khamis)/6 Syawal 1447H.
Baginda yang juga Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah ia sebagai menginsafi ujian kemarau dan cuaca panas yang sedang melanda negara, terutamanya di bumi Perlis dengan keadaan tanah yang kian gersang, kekurangan air dan rintihan khalayak yang mendambakan curahan hujan rahmat dari Yang Maha Esa, maka dianjurkan agar mendirikan Solat Al-Istisqa’.
“Saya menyeru agar seluruh lapisan masyarakat, tanpa mengira darjat dan kedudukan, keluar berhimpun membawa jiwa yang luluh dan penuh penyesalan. Kemarau ini menuntut kita untuk bermuhasabah; barangkali ia adalah satu teguran dari Ilahi agar kita segera kembali memohon dan mengharap kepada-Nya,” titah Baginda dalam kenyataan media yang dikeluarkan MAIPs hari ini.
MENGAJAK UMAT ISLAM
Baginda mengajak umat Islam mempertingkatkan ketaqwaan, berhenti dari melakukan kezaliman, segera bertaubat dari semua maksiat, saling memaafkan sesama manusia, memperbanyakkan berpuasa, meningkatkan amalan bersedekah serta meninggalkan perbalahan.
“Semoga permohonan, rintihan, dan doa yang kita panjatkan mendapat limpahan perkenan Allah Azza Wajalla, lantas dikurniakan hujan rahmat yang menyuburkan bumi dan mendinginkan jiwa, bukannya hujan azab yang membinasakan dan merosakkan. Kepada Allah jua kita berserah dan bertawakkal!,” titah Baginda.
Sementara itu, dalam kenyataan media itu juga memberi panduan bagi yang akan menunaikan Solat Al-Istisqa’ di mana para jemaah digalakkan menggunakan payung daripada kenderaan ke musolla.
DIMESTIKAN MEMBAWA SEJADAH
Selain iu dimestikan membawa sejadah masing-masing dan mengambil wudhu dari rumah, di samping turut menjaga kesihatan dengan memakai pelitup muka bagi yang mempunyai keuzuran kesihatan.
Bagi pelaksanaan di masjid-masjid seluruh Negeri Perlis, buat masa ini, Doa Al-Istisqa’ akan dilaksanakan ketika Khutbah Jumaat yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis, bermula 27 Mac 2026 sehingga tempoh yang akan dimaklumkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).
Sebarang persoalan berkaitan pengurusan pelaksanaan Solat Al-Istisqa’, sila hubungi pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) melalui talian 04-9794400 atau berinteraksi melalui hantaran peribadi di Laman FB MAIPs. – JM
