



Oleh: Sholina Osman
25 MAC 2026
Sebanyak 15 kes penyakit berkaitan cuaca panas telah dilaporkan di seluruh negara yang melibatkan 11 kes kelesuan haba, 1 kes kejang haba, dan 3 kes strok haba dari 1 Januari 2026 hingga 24 Mac 2026.
Kenyataan media Kementerian Kesihatan Malaysiq (KKM) memaklumkan semua kes ini telah pulih kecuali satu kes strok haba melibatkan kanak-kanak yang terperangkap dalam kenderaan tanpa disedari oleh ibu bapa telah meninggal dunia disebabkan strok haba.
Sehubungan itu, KKM ingin mengingatkan orang ramai untuk mengambil langkah-langkah pencegahan berikut semasa cuaca panas.
“Rancang aktiviti ziarah raya atau aktiviti di luar rumah dan elakkan waktu puncak cuaca panas antara jam 11 pagi hingga 4 petang,” kata kenyataan itu.
MINUM AIR KOSONG
Banyakkan minum air kosong walaupun tidak berasa dahaga sekurang-kurangnya lapan gelas sehari bagi mengekalkan tahap hidrasi untuk mengawal-atur suhu badan.
Kurangkan minum air manis, berkafein dan berkarbonat kerana ia tidak baik untuk hidrasi badan.
Golongan berisiko tinggi seperti bayi, kanak-kanak dan warga emas, perlu dipastikan minum air secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi.
Awasi gejala keletihan dalam kalangan bayi, kanak-kanak dan warga emas kerana mereka mungkin mengalami dehidrasi tanpa disedari.
PROSES KEHILANGAN HABA
Kerap mandi bagi menyejukkan badan. Elakkan memakai pakaian yang tebal, ketat dan berwarna gelap bagi membantu proses kehilangan haba dari badan.
Hadkan aktiviti fizikal lasak semasa cuaca panas kerana ia boleh
meningkatkan risiko penyakit akibat cuaca panas.
Hadkan tempoh berada di luar bangunan bagi mengelakkan
pendedahan yang lama kepada cuaca panas.
Gunakan pelindung diri seperti payung dan topi bagi mengelakkan pendedahan secara langsung kepada cuaca panas.
UNTUK MENYEJUKKAN BADAN
Gunakan kipas atau penyaman udara untuk menyejukkan badan dan elakkan berada di dalam kenderaan tertutup ketika penyaman udara
tidak dihidupkan semasa cuaca panas.
Pastikan tiada kanak-kanak ditinggalkan bersendirian di dalam
kenderaan di bawah matahari.
Sentiasa mengambil tahu keadaan warga emas yang tinggal
bersendirian, sama ada ahli keluarga sendiri ataupun jiran.
Dapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya
mengalami gejala penyakit akibat cuaca panas.
KKM juga menggesa agensi kerajaan, institusi-institusi pendidikan, pusat-pusat jagaan harian warga emas dan pusat jagaan kanak-kanak agar mengambil langkah pencegahan yang disyorkan oleh kerajaan bagi mencegah kejadian penyakit berkaitan cuaca panas. – JM
