
13 Mac 2026
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggalakkan seluruh warga kementerian, termasuk Jabatan dan Agensi di bawahnya, untuk terus mengamalkan penggunaan tenaga elektrik secara berhemah sebagai sebahagian daripada usaha menyokong amalan hijau serta pengurusan kewangan sektor awam yang lebih cekap.
Inisiatif ini selaras dengan Arahan Kawalan Perbelanjaan Awam Kementerian/Jabatan oleh Kementerian Kewangan Malaysia bertarikh 12 Mac 2026, yang menekankan kepentingan langkah penjimatan kos operasi kerajaan termasuk penggunaan utiliti secara berhemah.
Antara amalan mudah yang digalakkan ialah mematikan lampu apabila tidak digunakan, menutup penghawa dingin selepas waktu pejabat, serta memastikan komputer dan peralatan elektrik dimatikan apabila tidak lagi diperlukan.
Langkah-langkah kecil ini mampu memberi impak besar dalam mengurangkan pembaziran tenaga sekali gus menyokong agenda kelestarian alam sekitar serta pengurusan sumber negara yang lebih berkesan.
KDN komited untuk terus memperkukuh budaya kerja yang mengutamakan kecekapan penggunaan sumber serta menyokong agenda kelestarian kerajaan melalui penglibatan aktif seluruh warga kementerian.
Sumber:
Arahan Kawalan Perbelanjaan Awam Kementerian/Jabatan
Kementerian Kewangan Malaysia
12 Mac 2026
