Hampir 10,000 Kit Ramadan diedar sempena Program Kempen Internet Selamat@Bazar Ramadan

Oleh: Sholina Osman
10 MAC 2026

Hampir 10,000 Kit Ramadan mengandungi risalah maklumat kempen, satu pek kurma, sebotol air mineral dan butang lencana, telah diedarkan kepada pengunjung Program Kempen Internet Selamat@Bazar Ramadan anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di 19 lokasi di seluruh negara.

Kenyataan media MCMC memaklumkan antara pengisian menarik program ini termasuk sesi interaktif keselamatan Internet, demonstrasi pengaktifan kawalan ibu bapa, pendedahan mengenai ancaman penipuan dalam talian, salah guna media sosial dan langkah pencegahan jenayah siber.

Dalam pada itu, hampir 1,000 pengunjung telah mendaftar sebagai Wira Internet Selamat.

MOBILISASI TENAGA KERJA

Kejayaan pelaksanaan program ini turut disokong oleh mobilisasi tenaga kerja MCMC di seluruh negara bersama petugas daripada Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

Program tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil di IWK Ecopark, Pantai Dalam manakala Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching di Bazar Ramadan Temenggong, Kulai, Johor.

Sementara itu, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan dipersembah maklum berkenaan Kempen Internet Selamat semasa menghadiri program Santuni Bazar Ramadan di Bazar Ramadan Stadium Shah Alam, Seksyen 13.

PEMIMPIN UTAMA KERAJAAN

Beberapa pemimpin utama Kerajaan Negeri lain turut hadir sama di bazar lain di negeri-negeri yang turut mengadakan program ini.

Selain itu program ini menerima sambutan amat menggalakkan, dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat termasuk keluarga, golongan belia dan peniaga yang mengambil peluang mendapatkan pendedahan mengenai amalan penggunaan Internet secara selamat.

Sepanjang penganjuran program tersebut, para pengunjung dilihat aktif berinteraksi di reruai kempen dengan mendapatkan maklumat berkaitan keselamatan siber, menyertai sesi penerangan serta mengambil bahan informasi yang disediakan.

KEPENTINGAN KESELAMATAN DIGITAL

Sambutan yang positif ini mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan keselamatan digital, lebih-lebih lagi ketika aktiviti dalam talian seperti pembelian dan urusan kewangan yang kian rancak sepanjang bulan Ramadan.

Keadaan ini sekali gus memperkukuh matlamat kempen dalam memperkasa orang ramai dengan pengetahuan serta amalan penggunaan Internet secara selamat dalam kehidupan seharian. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *