
Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
7 MAC 2026
Malaysia, Pakistan senada bahawa semua pihak yang terlibat perlu segera menghentikan serangan, melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat dan kembali ke meja rundingan bagi meredakan ketegangan yang semakin memuncak.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian semasa
menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif di mana antara mereka bertukar pandangan berhubung perkembangan di Asia Barat.
Beliau berkata kedua mereka juga berkongsi kebimbangan terhadap situasi yang semakin meruncing susulan serangan rejim Zionis Israel dan Amerika Syarikat.
INI MERUPAKAN PENCABULAN
“Saya menegaskan bahawa tindakan ini merupakan pencabulan terhadap prinsip undang-undang antarabangsa serta Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Beliau berkata pada masa sama, Shehbaz memaklumkan perkembangan mengenai ketegangan antara Pakistan dan Afghanistan, serta berkongsi pandangan tentang inisiatif yang perlu dilaksanakan bagi merintis jalan damai antara kedua-dua negara.
“Saya menegaskan bahawa semua pihak perlu menahan diri dan mengelakkan tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan. Malaysia menggesa agar ketegangan ini ditangani melalui dialog dan saluran diplomatik,” kata Anwar dalam perkongsian di FB. – JM
