
MIRI, 15 Februari – Seorang warga emas berusia 65 tahun di Miri menjadi mangsa penipuan pinjaman peribadi “tidak wujud” selepas membuat pemindahan wang berjumlah RM549,448.00 melalui 106 transaksi ke pelbagai akaun suspek.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah dalam kenyataan media mengesahkan laporan polis telah diterima oleh pihak Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah, BSJKD Miri pada 14 Februari 2026 berkaitan kes tersebut.
Mangsa yang bekerja di sektor swasta tertarik dengan tawaran pinjaman peribadi yang disiarkan melalui Facebook dan berurusan dengan ejen pinjaman melalui aplikasi WhatsApp dan hanya sedar telah tertipu selepas mendapat nasihat daripada anaknya.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih daripada sepuluh tahun, sebat, serta denda jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu ACP Mohd Farhan menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dengan tawaran pinjaman peribadi secara atas talian dan tidak membuat sebarang bayaran proses atau deposit sebelum mengesahkan lesen syarikat pinjaman dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Mangsa penipuan siber digalakkan menghubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997.
Maklumat terkini tentang modus operandi penipuan juga boleh diperoleh melalui Facebook Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak.
NORIZA
Sumber: PDRM
