




Wartawan JM
16 FEB. 2026
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hadir ke program Hari Bersama Komuniti (HBK) anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Taman Desa Belantik, Johor Bahru.
Kenyataan media MCMC memaklumkan pengisian utama program ini ialah sesi Kempen Internet Selamat (KIS) yang merupakan usaha berterusan MCMC bagi melindungi pengguna digital dalam kalangan komuniti setempat.
Sepanjang tahun 2025, sebanyak 9,666 program Kempen Internet Selamat telah dilaksanakan di seluruh negara, membuktikan komitmen kerajaan dalam meningkatkan kesedaran penggunaan digital secara selamat dan berhemah, terutama golongan kanak-kanak.
HBK turut membawakan pelbagai pengisian Perkhidmatan Pintar NADI termasuk e-Sukan, Tuisyen DiLea, NADI Mahir Baiki Gajet, saringan kesihatan serta pameran dan jualan oleh usahawan NADI.
PAMERAN DAN PERKHIDMATAN
Terdapat juga pameran dan perkhidmatan agensi seperti Kaunter eKasih oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana
Menteri (ICU JPM), serta Kempen Elektrik Selamat oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Hingga Disember 2025, Perkhidmatan Pintar NADI merekodkan sebanyak 1.4 juta penyertaan di seluruh negara, sekali gus mencerminkan sambutan positif dan keperluan berterusan komuniti terhadap pembangunan kemahiran digital serta sosioekonomi.
Penganjuran HBK ini mencerminkan peranan NADI sebagai pusat sehenti komuniti yang bukan sahaja menyediakan akses Internet secara kolektif, malah berfungsi sebagai platform memperkasakan komuniti melalui pembangunan kemahiran digital, keusahawanan dan penyebaran inisiatif kerajaan di peringkat akar umbi.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul
Halim Hamzah dan Ketua Pegawai Sektor Hal Ehwal Negeri MCMC, Bukhari Yahya. – JM
