





Oleh: Sholina Osman
16 FEB. 2026
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menyita 190 tong gas petroleum cecair (LPG) dan sebuah lori dengan anggaran nilai rampasan RM83,116 dalam serbuan ke atas sebuah premis di Kajang, minggu lepas.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata ini berikutan Bahagian Penguat Kuasa, Putrajaya telah melaksanakan satu
operasi serbuan ke atas sebuah premis tanpa nama pada 9 Februari
2026.
“Operasi ini dijalankan hasil daripada maklumat risikan yang diperoleh oleh pasukan Pegawai Penguat Kuasa KPDN Putrajaya berhubung kewujudan sebuah premis yang disyaki menjalankan aktiviti penyimpanan barang kawalan tanpa lesen yang sah,” kata beliau dalam kenyataan media.
PREMIS YANG BERPAGAR
Azman berkata semasa ketibaan pasukan di lokasi, premis yang berpagar zink tersebut didapati berada dalam keadaan berkunci sebelum pasukan serbuan berjaya memasuki kawasan berkenaan untuk pemeriksaan lanjut.
Bagaimanapun kata beliau hasil pemeriksaan di lokasi mendapati terdapat dua orang individu warga tempatan iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan masing-masing berperanan sebagai pemandu lori dan pemandu kereta.
“Pasukan serbuan menemui sebuah lori jenis Daihatsu yang membawa sebanyak 110 tong gas Petroleum Cecair (LPG) jenama BHP berkapasiti 14kg manakala terdapat tambahan 80 tong LPG berkapasiti 14kg dan 50kg di kawasan pelantar premis tersebut,” kata beliau.
SIASATAN AWAL MENDAPATI
Jelas beliau siasatan awal mendapati bekalan berkenaan diperoleh daripada sebuah syarikat di Bandar Rinching, Semenyih namun pemeriksaan mengesahkan premis di Kajang ini tidak memiliki sebarang lesen sah untuk menyimpan atau menjalankan urus niaga barang kawalan.
Sehubungan itu, katahya pihak KPDN telah menyita kesemua tong gas LPG
tersebut bersama sebuah lori dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM83,116.00.
Bagi tujuan siasatan lanjut, satu
arahan di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] telah dikeluarkan bagi mengemukakan dokumen berkaitan serta pengisytiharan stok barang kawalan.
AKTA KAWALAN BEKALAN
Kes ini disiasat di bawah Seksyen
21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] yang dibaca bersama
Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana
memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan serta
menjalankan urus niaga barang berjadual tanpa lesen yang sah daripada Pengawal Bekalan.
KPDN ingin menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil ke atas
mana-mana pihak yang didapati melanggar perundangan yang
ditetapkan.
Orang perseorangan yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1,000,000.00 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM2,000,000.00 bagi kesalahan pertama. – JM
