Sindiket Fake BTS kali ini di Johor berjaya ditumpaskan

Wartawan JM
11 FEB. 2026

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya menumpaskan satu lagi aktiviti sindiket pemancaran Stesen Pangkalan Palsu (Fake Base Transceiver Station – Fake BTS) kali ini melibatkan operasi di sekitar kawasan Bukit Chagar, Johor Bahru.

Kenyataan media MCMC memaklumkan operasi ini dilaksanakan susulan maklumat yang diterima serta pemantauan
teknikal dan analisis rangkaian oleh MCMC yang mengesan corak pemintasan rangkaian telekomunikasi dan penyebaran SMS palsu kepada pengguna.

Dalam operasi bersepadu yang dijalankan bersama pihak penyedia
perkhidmatan telekomunikasi pada hari ini, pasukan penguatkuasa telah
mengenal pasti seorang individu dan sebuah kenderaan yang digunakan sebagai platform pemancaran Fake BTS.

PENGGUNAAN PERANTI KOMUNIKASI

Pemeriksaan di lokasi mengesahkan
penggunaan peranti komunikasi tidak diperakui yang berupaya memintas
rangkaian sah dan menghantar SMS palsu secara terus kepada peranti pengguna di sekitarnya.

Maklumat yang diperoleh turut menunjukkan bahawa individu yang terlibat direkrut untuk mengendalikan peranti Fake BTS melalui tawaran pekerjaan dengan bayaran harian, satu taktik yang digunakan oleh sindiket bagi memperluas operasi tanpa mendedahkan struktur sebenar rangkaian mereka.

Penemuan ini mengukuhkan kewujudan rangkaian sindiket yang menyasarkan pengguna di kawasan tumpuan awam, sekali gus meningkatkan risiko penipuan
serta mengancam integriti sistem telekomunikasi negara.

TINDAKAN DI BAWAH

Kes ini diambil tindakan di bawah Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] serta Peraturan 16(1)(b), Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 239 Akta 588, seseorang yang disabitkan kesalahan boleh didenda
sehingga RM1,000,000 atau dipenjarakan sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi kesalahan di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan
Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000, pelaku boleh didenda
maksimum RM300,000 atau dipenjarakan sehingga tiga (3) tahun, atau kedua-duanya sekali.

MCMC tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan rangkaian komunikasi oleh sindiket tidak bertanggungjawab.

Usaha pemantauan teknikal serta tindakan penguatkuasaan akan terus diperkasakan bagi melindungi pengguna dan memastikan keselamatan serta kebolehpercayaan rangkaian komunikasi negara. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *