
LIMBANG, 1 FEB – Populasi buaya yang semakin bertambah di Sungai Limbang mengundang bahaya kepada nelayan yang bergantung hidup dengan sungai sebagai sumber pendapatan utama.
Timbalan Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah justeru meminta Sarawak Forestry Corporation (SFC) bertindak lebih agresif, membendung pertambahan reptalia ganas yang semakin membimbangkan di sepanjang Sungai Limbang.
“Saya mohon kepada SFC supaya diadakan banyak lagi langkah untuk mengurangkan jumlah buaya di Limbang atau apa cara sebab sudah mendatangkan bahaya kepada penduduk di sepanjang sungai Limbang terutama sekali kerja menangkap ikan,” katanya
Mengulas isu sama, beliau meminta ibu bapa dan penjaga memantau anak-anak agar mengelak untuk mandi di Sungai Limbang walaupun mereka sudah tahu berenang.
Beliau berkata demikian pada Program Kemahiran Latihan Asas Sukan (KLAS) Renang Fasa 3 Peringkat Bahagian di Kolam Renang Awam Limbang.
Program tersebut melibatkan seramai 35 peserta, kanak-kanak berumur 6 sehingga 12 tahun anjuran Pejabat Belia dan Sukan Limbang.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon 7 Sarawak merekodkan 2 kes serangan buaya tahun lepas dan satu kes pada 2023.
Pada Disember tahun lepas juga, SFC berjaya menangkap seekor buaya sepanjang lebih 5 meter anggaran berat 300 kilogram di kawasan persisir kampung Merasam hingga Kuala Awang ,salah satu lokasi berisiko kerap dijumpai sang bedal.
DALI
