

Oleh: Sholina Osman
23 JAN. 2026
Sekatan akses sementara ke atas penggunaan aplikasi Grok di platform X telah ditarik balik berkuat kuasa hari ini.
Kenyataan media Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan ia susulan pengesahan pelaksanaan langkah-langkah pencegahan dan keselamatan tambahan oleh pihak platform berkenaan.
“Pada 21 Januari 2026, satu mesyuarat telah diadakan antara Kementerian Komunikasi, MCMC serta wakil platform X berhubung aplikasi Grok,” kata kenyataan itu.
Mesyuarat berkenaan diadakan bagi mendapatkan penjelasan dan komitmen pihak platform X berhubung langkah pencegahan serta pematuhan undang-undang Malaysia, di mana pihak X telah mengesahkan bahawa langkah
keselamatan yang diperlukan telah dilaksanakan terhadap aplikasi Grok.
PENJELASAN DAN PENGESAHAN
Sehubungan itu, kata kenyataan itu setelah mengambil kira penjelasan dan pengesahan awal yang dikemukakan, MCMC telah menarik balik sekatan akses sementara yang dikenakan terhadap aplikasi Grok, tertakluk kepada pemantauan berterusan oleh pihak berkuasa.
MCMC menegaskan bahawa keselamatan pengguna kekal sebagai keutamaan.
Sebarang kegagalan pematuhan atau pelanggaran undang-undang Malaysia akan ditangani secara tegas selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa. – JM
