

Wartawan JM
19 JAN. 2026
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Ahli Parlimen Kerajaan supaya sentiasa fokus kepada tugas dan tanggungjawab pada Mesyuarat Pertama
Penggal Kelima Parlimen ke-15 yang bermula hari ini.
Jurucakap Kerajaan Pakatan Harapan (PH), Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu disampaikan Perdana Menteri semasa sesi taklimat prapersidangan Dewan Rakyat bersama dengan Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan di Kompleks Seri Perdana, di Putrajaya, semalam.
Fahmi berkata sesi taklimat yang berlangsung selama kira-kira dua jam bermula dari 2.30 petang juga merupakan platform bagi Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara Kerajaan Perpaduan mengeratkan silaturahim sebelum mesyuarat Parlimen bermula.
KITA MEMBERIKAN FOKUS
“Perdana Menteri sampaikan pesanan untuk kita memberikan fokus kepada tugas,” kata Fahmi.
Malah kata Fahmi, Perdana Menteri mengingatkan Ahli Parlimen, masing-masing ada tanggungjawab bukan hanya untuk hadir, tetapi untuk berbahas dengan baik dalam sidang.
Beliau turut mengesahkan bahawa empat rang undang-undang (RUU) menjadi keutamaan kerajaan untuk dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini.
RUU itu berkaitan dengan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun atau dua penggal penuh, RUU tentang pemisahan kuasa Pendakwa Raya dengan Peguam Negara, RUU Ombudsman 2025 dan RUU berkaitan Akta Kebebasan Maklumat. – JM
