



KUCHINH, 13 Jan – Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Jojari Tun Openg menegaskan, tahun 2026 menandakan titik perubahan penting bagi Sarawak, iaitu peralihan daripada fasa persediaan kepada pelaksanaan.
Menurut beliau, fokus kini adalah kepada penyampaian hasil yang jelas dan nyata melalui pelaksanaan tegas projek sedia ada, penyelesaian kadar segera, serta penetapan kebertanggungjawaban yang jelas bagi setiap inisiatif utama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.
Jelasnya, dalam fasa pembangunan yang lebih mencabar ini, tadbir urus yang berkesan hanya bermakna apabila ia memberi impak sebenar kepada kehidupan rakyat, manakala kredibiliti diukur melalui hasil di lapangan yang menuntut Perkhidmatan Awam Sarawak beralih kepada prestasi berasaskan hasil dengan penyelarasan antara agensi serta penggunaan data dan platform digital secara berkesan.
Tambahnya, tanggungjawab pelaksanaan pembangunan bukan hanya terletak pada penjawat awam, malah memerlukan komitmen bersama semua pihak.
Dengan hala tuju yang jelas, sumber mencukupi, institusi yang diperkukuh, pelaksanaan yang berdisiplin dan berani berteraskan RMK-13 Sarawak, serta semangat Segulai Sejalai, negeri ini akan terus membawa pembangunan ke arah memastikan manfaat sebenar dirasai rakyat serta diwariskan kepada generasi akan datang.
Beliau berucap dalam Majlis Amanat Premier Sarawak 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.
Dalam majlis tersebut, Premier Sarawak turut melancarkan buku bertajuk “Greening Transformation : Sarawak 2030 and Beyond ” yang menggariskan hala tuju Sarawak dalam agenda ekonomi hijau.
Turut hadir ialah Timbalan-Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, dan
Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Wartawan: ERIC
Foto: UKAS
