

SIBU, 12 Jan- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarikei merampas rokok dan minuman keras pelbagai jenama yang disyaki tidak berkastam bernilai keseluruhan RM7.2 juta di Sibu.
Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Datuk Haji Norizan Yahya berkata, rampasan itu dibuat dalam satu serbuan dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Lorong Rantau Panjang Jaya 3H, di sini, pada 19 Disember lalu.
Jelasnya, serbuan kira-kira pukul 9.15 malam itu dijalankan hasil maklumat risikan Ibu Pejabat oleh sepasukan pegawai Unit Operasi Darat, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Sarikei.
βHasil pemeriksaan menemukan 6,766,400 batang rokok dan 89,416.80 liter minuman keras yang disyaki barang larangan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,β katanya.
Menurutnya, nilai sitaan dianggarkan RM1.21 juta, manakala duti import dan cukai berjumlah RM6.08 juta.
Katanya, modus operandi sindiket adalah menyimpan barang tidak berkastam di premis kediaman bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
βKes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan masih dalam siasatan,β katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, JKDM menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat Kastam terdekat, dengan jaminan identiti dirahsiakan.
Wartawan: ALHADI/PR
Foto: JKDM SARAWAK
