


Oleh: Sholina Osman
4 JAN. 2026
Sudah jatuh ditimpa tangga. Semuanya angkara “scammer” sehingga menyebabkan seorang Pakar Perubatan mengalami kerugian sebanyak RM529,200.00.
Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata kali pertama mangsa yang berusia 67 tahun ini rugi sebanyak RM320,000.00 setelah ditipu dalam skim pelaburan mata wang kripto yang tidak wujud.
“Kali kedua pula dengan sebuah entiti iaitu International Justice Malaysia (IJM) yang meminta bayaran guaman sebanyak RM209,200.00 bagi membantu menyelesaikan masalah penipuan pelaburan yang dihadapi mangsa,” kata Noor Hisam dalam kenyataan media.
Noor Hisam berkata mangsa yang mulai berasa ragu-ragu dan hilang kepercayaan terhadap kesahihan urusan tersebut telah membuat laporan polis pada 2 Januari 2026, di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.
DALAM SKIM PELABURAN
“Mangsa memaklumkan bahawa telah ditipu dalam skim pelaburan mata wang kripto yang tidak wujud,” kata beliau.
Beliau berkata dari siasatan awal pihak polis mendapati pada penghujung bulan September 2025, mangsa telah menerima pautan pelaburan dari seorang kenalan di aplikasi TikTok.
“Akibat terpedaya dengan penerangan suspek, mangsa telah membuat beberapa pindahan wang berjumlah RM320,000.00 ke dalam pelbagai akaun bank berdaftar atas nama syarikat berkenaan,” kata beliau.
GAGAL MENGELUARKAN KEUNTUNGAN
Bagaimanapun mangsa kemudiannya gagal mengeluarkan keuntungan seperti yang telah dijanjikan.
“Tidak lama selepas itu, mangsa terbaca mengenai sebuah entiti yang dikenali sebagai International Justice Malaysia (IJM) di Facebook kononnya boleh membantu menyelesaikan masalah penipuan,” kata beliau.
Noor Hisam memberitahu mangsa kemudiannya berhubung dengan seorang lelaki Cina yang mengaku sebagai peguam dan diminta membuat pelbagai bayaran tambahan.
MANGSA SEKALI LAGI
“Akibat daripada urusan tersebut, mangsa sekali lagi mengalami kerugian berjumlah RM209,200.00,” beritahu beliau.
Jumlah keseluruhan kerugian yang dialami mangsa adalah berjumlah RM529,200.00.
Noor Hisam berkata kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) kerana menipu. – JM
